HomeUtamaIsu banjir di Penampang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Persekutuan Jumaat ini

Isu banjir di Penampang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Persekutuan Jumaat ini

Read Time:2 Minute, 2 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

PENAMPANG: Isu banjir di daerah ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Persekutuan pada Jumaat ini bagi penyegeraan peruntukan pelaksanaan projek mitigasi banjir di Penampang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan projek mitigasi banjir di Penampang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu perlu dipercepatkan kerana ia satu keperluan mendesak dan amat diperlukan oleh rakyat Penampang.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk membangkitkan isu banjir Penampang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri penyelaras bencana negara dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan Jumaat ini.

“Saya memerlukan perhatian dan tindakan Kabinet untuk menyegerakan proses pelantikan kontraktor atau konsultan untuk memulakan projek ini yang sudah tertangguh sekian lama,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau beberapa kawasan banjir di kawasan Penampang, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sebelum ini insiden bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu dan Kelantan telah dibincangkan di Kabinet.

“Oleh itu saya juga akan membangkitkan isu banjir di Penampang pada mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya meminta kabinet dan Kementerian Kewangan terutamanya kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ini supaya menyegerakan proses pelaksana projek tebatan banjir di Penampang,” katanya.

Beliau berkata, keperluan mitigasi banjir di Penampang amat diperlukan dan kritikal.

“Sebab itu saya balik ke Penampang walaupun Sidang Parlimen sedang berlangsung, kerana menjadi tanggungjawab saya membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera menyelenggara parit-parit atau pembentung yang tersumbat bagi mengelak kejadian banjir pada masa akan datang.

“Kalau parit dan pembentung tersumbat, maka pada pandangan saya ia tidak mengambil masa yang lama untuk diselenggarakan.

“Tetapi sekiranya ada keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir yang melibatkan anggaran kos hampir RM500 juta, maka saya perlu membawa perkara ini ke Kabinet supaya ia dapat disegerakan,” katanya.

Beliau juga berharap agar kerajaan negeri memberikan perhatian segera keperluan peruntukan infra berskala kecil termasuk penyelenggaraan parit, culvert dan jambatan gantung di Penampang.

“Bagi keperluan peruntukan berskala kecil, beliau akan berbincang dengan pihak Pejabat Daerah, JKR dan JPS untuk mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan projek-projek mitigasi banjir berskala kecil yang diperlukan.

“Selain peruntukan daripada JKR dan JPS, saya juga akan menggunakan peruntukan Parlimen dan menteri untuk membantu melengkapkan keperluan penyelenggaraan di beberapa tempat yang sering menjadi punca berlakunya banjir atau tempat air bertakung,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular