HomeUtamaJPSM laksana 15 program TVET secara 'in-house' tahun ini

JPSM laksana 15 program TVET secara ‘in-house’ tahun ini

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dilaksanakan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) secara ‘in-house’ pada tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program yang dilaksanakan di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Papar itu dijangka akan melahirkan 300 Graduan TVET setahun.

“Selain itu empat program ‘Sabah Talent Entrepreneurship Programme (STEP)’ akan melahirkan 80 usahawan belia yang dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang baharu selain 100 kursus kemahiran keusahawanan 

jangka pendek di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) melibatkan 2,000 orang peserta.

“Pelaksanaan program ‘Hospitality Engagement Learning Programme (HELP)’ yang dapat membantu para belia mendapat latihan sambil bekerja di hotel-hotel terkemuka di Malaysia juga akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah di sini semalam.

Mohd Arifin berkata, JPSM turut melaksanakan kursus latihan kemahiran jangka panjang yang bertujuan membantu golongan sasar iaitu belia, beliawanis, B40 dan pencari kerja.

Katanya,  seramai 90 peserta telah menyertai kursus Pemandu Penyelam, Rigging & Slinging (Advance) and Blaster Painter Level 1 dan 2 serta Kursus Perkapalan. 

“Seramai 39 peserta kursus telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program-program ini. Semua inisiatif ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan belia terhadap pekerjaan di sektor Kerajaan. 

“JPSM dan PERKESO telah menyediakan platform Sabah Jobs Portal (JPSM) dan MyFutureJobs (PERKESO) sebagai platform pencarian kerja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata, seramai 4,634 pencari kerja dan 170 majikan berdaftar di Sabah Jobs Portal.

Katanya, sebanyak 84,078 jawatan kosong telah diiklankan daripada 6,712 majikan melalui portal MyFutureJobs.

“Kewujudan portal-portal pekerjaan ini hendaklah dijadikan sebagai pemangkin dan digunakan sepenuhnya semasa penganjuran Karnival Kerjaya, saya yakin jumlah pengangguran di negeri ini akan dapat dikurangkan dengan adanya platform digital ini. 

“Pengukuhan program TVET juga perlu dilaksanakan dan ditransformasi sejajar dengan keperluan industri. 

“Pada tahun lepas seramai 16,472 orang telah berjaya dibantu mendapat pekerjaan melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif KSTI, JPSM dan PERKESO,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, sebanyak 10 Siri Karnival Pekerjaan dirancang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Saya mohon pihak JPSM memulakan pendekatan baharu secara bersepadu dengan penglibatan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi mengatasi masalah pengangguran di Sabah. 

“Selain itu, KSTI melalui AMC College juga banyak menganjurkan pelbagai jenis program upskilling dan literasi bahasa dan ICT. 

“Sepanjang tahun 2022, seramai 33,198 orang belia telah dilatih melalui 149 kursus. Saya berharap pada tahun ini, program-program ini dapat diteruskan bagi meningkatkan tahap literasi belia dalam bidang-bidang bahasa dan ICT,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular