KOTA KINABALU : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini mempergiatkan usaha bagi menarik minat masyarakat menyertai pasukan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini termasuklah pewujudan Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA).
Katanya, usaha bagi membawa komuniti menyertai ASPA adalah bagi memastikan aspek keselamatan dimulakan dari peringkat paling asas iaitu pertahanan awam.
“Penglibatan masyarakat penting bagi memastikan semua pihak dapat memainkan peranan dalam kesiapsiagaan nasional menghadapi sebarang bentuk kecemasan dan pengurusan bencana.
“Usaha memberikan latihan dan kemahiran selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh kerajaan pada tahun 2015 kepada APM sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat daerah serta negeri.
“Sehingga Januari 2023, jumlah ASPA yang telah mendapat latihan di seluruh negara adalah 1,972,077 orang termasuk 196,651 anggota di Sabah,” katanya semasa Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat APM Sabah di sini, hari ini.
Tambah Armizan, bagi memudahkan pergerakan anggota penyelamat ke tempat bencana, APM akan membekalkan 100 unit ambulans pacuan empat roda secara berfasa bermula tahun ini sehingga Julai 2024.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 unit akan diserahkan kepada APM Sabah dan Sarawak yang masing-masing mendapat 15 unit dan baki 70 buah pula akan diagihkan di Semenanjung Malaysia.
“Ini adalah usaha APM memperkasakan fungsi dan tanggungjawab mereka dengan turut menaik taraf keupayaan aset pertahanan awam selain dari aspek sumber manusia,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Armizan berkesempatan menganugerahkan pingat APM dan pemakaian pangkat kepada seramai 4 penerima Pegawai Bersekutu, 186 penerima Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan 14 penerima Anugerah Pingat Pertahanan Awam.