HomeIsu tempatanProjek tebatan banjir Sungai Moyog Pakej 1,3 sedang dilaksana

Projek tebatan banjir Sungai Moyog Pakej 1,3 sedang dilaksana

Read Time:2 Minute, 36 Second

PENAMPANG: Usaha untuk menangani masalah banjir di daerah ini telah dan sedang dilaksanakan melalui Projek Tebatan Banjir yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, Pakej 1 dan 3 Projek Tebatan Banjir Penampang melibatkan Sungai Moyog kini sedang dilaksanakan.

Manakala katanya, cadangan untuk pakej 2 dan 4 pula telahpun dibawa ke Mesyuarat Kabinet Persekutuan pada Jumaat lalu untuk tindakan segera.

Beliau berkata berdasarkan taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang baru-baru ini, pakej 1 melibatkan pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog.

Katanya, ia melibatkan pembinaan dan menaiktaraf parit, penambahbaikan parit dan kerja-kerja berkaitan di Sungai Kibabaig telahpun dimulakan pada November 2016 dan sepatutnya dijadualkan siap pada 2019.

“Bagaimanapun ia mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa isu antaranya isu pencerobohan struktur-struktur rumah dalam rezab perparitan. Ketika ini kemajuan projek 79 .41 peratus dan tarikh penyiapan dilanjutkan sehingga Disember 2024.

“Manakala Pakej 3 pula melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Sungai Putatan. Projek ini telahpun dimulakan pada Jun 2017 dan tarikh siap asal pada Disember 2020, namun tarikh siap dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.

“Antara isunya ialah terdapat penempatan setinggan berada dalam kawasan projek yang masih belum dirobohkan. Pihak kontraktor hanya dapat memasuki tapak di kawasan yang tidak halangan setinggan.

“Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) memaklumkan bahawa ada pemilik rumah setinggan yang telah menerima bayaran saguhati berserta notis untuk mengosongkan rumah yang terlibat.

“JTU juga telah mengeluarkan notis susulan kepada pemilik setinggan yang telah menerima bayaran saguhati tetapi masih belum mengosongkan atau berpindah dari tapak projek tersebut,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai projek tebatan banjir di Penampang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Koperasi anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di ITCC Penampang, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, bagi Fasa 2 dan 4 pula beliau telah mencadangkan supaya projek pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta dapat dimasukkan dalam agihan peruntukan tebatan banjir bermula tahun ini.

Beliau berkata, cadangan untuk pembangunan lembagan sungai bersepadu Sungai Moyog itu dijangka dimulakan pada tahun 2024 dan dijangka siap pada 2029.

Katanya turut dicadangkan sejumlah peruntukan khas bencana disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyelenggara dan membaikpulih parit-parit, anak sungai dan sungai di Penampang yang tersumbat dan menjadi antara punca limpahan dan takungan air banjir.

“Kita sedia maklum masalah banjir bukan sahaja satu fenomena alam tetapi ia juga disebabkan oleh beberapa faktor lain termasuk parit tersumbat atau tidak diselenggara.

“Beberapa hari yang lalu saya telah meninjau sendiri beberapa kawasan yang dikatakan penduduk kampung menjadi punca berlakunya banjir di kawasan itu bersama pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS.

“Pada hari ini saya juga telah meninjau beberapa kawasan sekitar Sungai Moyog dan Sungai Putatan yang menjadi penyumbang berlakunya banjir.

“Saya dapati selain Projek Pan Borneo, penyebab lain antaranya parit tidak diselenggarakan, pembinaan jambatan sementara dan pembinaan rumah ditepi sungai,” katanya.

Ewon berkata, semua isu itu memerlukan penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak bukan sahaja jabatan teknikal dan wakil rakyat, tetapi penduduk kampung juga harus bertanggungjawab.

“Selain memberikan keutamaan terhadap penyelesaian masalah banjir di Penampang, masalah kesesakan lalulintas juga saya berikan perhatian,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular