Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Sabah memuji dan mengalu-alukan usaha syarikat penerbangan tambang murah AirAsia untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, penyambungan itu adalah melibatkan penerbangsan dari Guangzhou ke Kota Kinabalu dan Shenzhen ke Kota Kinabalu bermula minggu hadapan.
“Saya dimaklumkan oleh AirAsia bahawa penyambungan semula penerbangan antarabangsa itu adalah yang keenam dari Guangzhou pada 2 Mac dan ketujuh dari Shenzen pada keesokkan harinya sejak penularan wabak COVID-19 tiga tahun lalu.
“Kami juga amat mengalu-alukan komitmen AirAsia untuk mengembalikan perkhidmatan penerbangan ke tahap yang lebih baik selepas pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Christina berkata, ia juga adalah sebagai langkah bagi menyokong usaha berterusan Kerajaan untuk meningkatkan indiustri pelancongan di negeri ini.
Katanya, dengan inisiatif itu diyakini akan dapat memulihkan penerbangan terus dari dua destinasi ke Kota Kinabalu dan pihaknya menjangkakan jumlah pelancong dari China pada tahun ini akan terus meningkat.
Berkuat kuasa 1 Mac, kekerapan penerbangan dari Kota Kinabalu-Guangzhou adalah empat kali seminggu (Rabu, Jumaat, Ahad, Isnin), dan sebaliknya berkuat kuasa 2 Mac, iaitu empat kali seminggu dari Guangzhou- Kota Kinabalu (Khamis, Sabtu, Isnin, Selasa).
Bagi laluan Kota Kinabalu-Shenzhen pula, berkuat kuasa 2 Mac, kekerapan penerbangan adalah tiga kali seminggu (Khamis, Sabtu, Selasa), dan sebaliknya berkuat kuasa 3 Mac, iaitu tiga kali seminggu dari Shenzhen-Kota Kinabalu (Jumaat, Ahad, Rabu). – SABAH MEDIA.