Perkhidmatan kesihatan di Sabah masih di takuk lama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Perkhidmatan kesihatan di Sabah masih lagi berada di takuk lama berdasarkan kepada kemudahan fasiliti dan pakar perubatan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sehingga kini terdapat 112 buah klinik kesihatan yang sedang beroperasi, namun 95 buah daripadanya atau 84.8 peratus adalah dalam keadaan usang dan daif.

“Lebih menyedihkan keadaan sehingga kini masih terdapat banyak klinik yang tiada kemudahan internet yang menyukarkan mereka berfungsi secara efisien.

“Sebanyak 70 peratus peralatan di hospital Sabah adalah berusia lebih 10 tahun atau ‘Beyond Economic Repair’ (BER),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini malam tadi.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, jangka hayat mesin perubatan hendaklah tidak melebihi 10 tahun seiring dengan kemajuan teknologi perubatan.

“Malangnya peralatan perubatan ‘uzur’ ini masih lagi digunakan di Sabah. Kekurangan ini ditambah dengan kekurangan sumber manusia perkhidmatan kesihatan di Sabah.

“Terdapat lompang kekosongan perjawatan kira-kira 8.82 peratus iaitu 2,494 daripada 28,274 sumber tenaga yang sepatutnya diisi,” katanya.

Tambahnya, pada tahun lalu, sasaran anggaran negara bagi nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:425 namun di Sabah pada tahun lalu adalah bernisbah 1:872.

Justeru beliau meminta Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan beberapa perkara bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Ia termasuklah menaiktaraf klinik kesihatan yang telah usang dan daif selain menaiktaraf hospital melalui penambahan jumlah doktor pakar, bilangan hospital berstatus negeri, hospital berpakar major, Hospital pakar minor untuk hospital-hospital yang bersuaian di bandar-bandar dan daerah-daerah di sekitar Sabah.

Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut meminta Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah  (HWKKS) dan Hospital Queen Elizabeth (HQE) II sebagai Pusat Rawatan Kardiologi, Neurologi dan Vascular.

Katanya, Kerajaan juga perlu melaksanakan pengagihan peruntukan kewangan yang adil dan berformula mengikut jumlah fasiliti kesihatan di Sabah.

“Selain itu, menaiktaraf gred perjawatan di semua peringkat iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, hospital, pejabat kesihatan kawasan dan daerah,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *