HomeUtamaBelanjawan 2023 : Kerajaan komited segerakan pelaksanaan LPB Sabah, Sarawak-Sabah Link Road

Belanjawan 2023 : Kerajaan komited segerakan pelaksanaan LPB Sabah, Sarawak-Sabah Link Road

Read Time:2 Minute, 40 Second

Kuala Lumpur : Kerajaan komited untuk meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, projek itu adalah melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

Jumlah kos itu merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diterima menerusi Belanjawan 2023 sebanyak RM8.439 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Peruntukan itu juga menunjukkan kenaikan sebanyak 15 peratus berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun lalu.

“Belanjawan 2023 juga menyaksikan usaha Kerajaan untuk menyegerakan projek penyenggaraan prasarana infrastruktur rakyat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk menyenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.

“Selain itu sebanyak RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4 bagi melaksanakan projek penyenggaran kecil Jalan Persekutuan.

“Manakala sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk Jurutera Daerah bagi setiap daerah untuk pembaikan segera jalan-jalan berlubang berdasarkan aduan rakyat yang diterima selain RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KKR turut memaklumkan, peruntukan secara ‘one-off’ sebanyak RM10.7 juta bagi Penyenggaraan Bangunan dan RM9.4juta bagi pembelian sebuah feri baru di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan turut diperuntukan kepada Kementerian itu dalam Belanjawan 2023.

Menurut KKR lagi, pembelian feri baru ini bakal memberi manfaat 30,000 penduduk setempat sebagai pengangkutan keluar masuk Pekan Pengkalan Kubor, Kelantan dan Pekan Takbai, Narathiwat Thailand.

Sementara itu, KKR turut menyokong usaha Kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan menerusi pelaksanaan projek infrastruktur awam bagi menangani isu kesesakan jalan raya di lokasi tumpuan pelancong.

“Antaranya membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta dan menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta.

“Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta.

“Menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway dan menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” menurutnya.

Dalam pada itu, KKR berkata, KKR akan terus mengambil inisiatif-inisiatif yang selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

“Ternyata, komitmen kerajaan jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, KKR turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia MADANI yang memberi fokus kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad.

Antaranya termasuk Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, Reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan Keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.

Jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM865.27 juta iaitu kenaikan sebanyak 5.07 peratus berbanding RM823 juta yang diterima untuk tahun 2022.

Manakala bajet pembangunan tahun 2023 yang diluluskan adalah sebanyak RM7.573 bilion berbanding RM6.483 bilion pada tahun 2022. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa samun ditetak, patah tulang, luka lengan kanan dan kiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya