LABUAN: Cadangan membina jambatan untuk menghubungkan tanah besar Sabah ke Wilayah Persekutuan Labuan bukanlah satu kemewahan tetapi keperluan asas untuk semua khususnya penduduk yang tinggal di sini.
“Ia adalah satu infrastruktur asas, bukan kemewahan, untuk menghubungkan orang ramai antara dua tempat berbeza,” kata Ketua Parti Bersatu Sabah Bahagian Labuan, Datuk Peter Mak, hari ini.
Walaupun beliau percaya jambatan akan membantu memacu pembangunan ekonomi di sini dan negeri jiran, Peter juga menyatakan pemahamannya terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang berkata sebaliknya.
“PBS Labuan memahami pendirian Perdana Menteri bahawa tiada keperluan untuk membina jambatan penghubung antara Labuan dan tanah besar Sabah baru-baru ini.
“Sebagai pemimpin terulung negara, kita boleh faham bahawa beliau perlu mempertimbangkan dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan keseluruhan negara secara keseluruhannya terlebih dahulu sebelum keperluan lain, terutamanya pada masa keadaan kewangan negara memerlukan perbelanjaan berhemat,” kata Peter yang juga Naib Presiden PBS.
Bagaimanapun, tambahnya sebagai Perdana Menteri yang prihatin, kami percaya beliau juga tidak akan teragak-agak untuk mendengar luahan rakyat untuk memenuhi keperluan asas mereka dengan lebih baik.
“Pada masa sama, kami berbesar hati dengan hasrat Perdana Menteri untuk memacu pembangunan Labuan bersama-sama Sabah kerana kami percaya sinergi sebegini berada di arah yang betul, selain pragmatik.
“Walau bagaimanapun, kami percaya dan optimis bahawa Perdana Menteri tidak akan mengabaikan nasib dan aspirasi ramai di Labuan secara menyeluruh yang memerlukan hubungan langsung tanpa henti yang lebih baik, lebih cekap dan berkesan antara Labuan dan Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa penduduk tempatan di sini melihat kesalinghubungan dan pertumbuhan industri seiring, bukan secara berasingan, sebagai antara faktor untuk Labuan merealisasikan potensi pertumbuhan penuhnya dari segi ekonomi dan sosial.
“Ia tidak realistik malah mencurigakan untuk mencadangkan sebaliknya,” tegasnya.
“Di samping pertimbangan ekonomi, infrastruktur asas adalah sama penting untuk meningkatkan kehidupan dan kemakmuran rakyat,” tambahnya.