HomeUtamaKerajaan terus iktiraf persatuan kumpulan etnik berdaftar di Sabah

Kerajaan terus iktiraf persatuan kumpulan etnik berdaftar di Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri akan terus mengiktiraf persatuan kumpulan etnik yang berdaftar di Sabah dan menyokong usaha mengangkat martabat pelbagai kaum.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik antaranya Kadazandusun, Bajausama, Rungus, Murut, Iranun, Orang Sungai, Kedayan, Lundayeh, Ubian dan Tatana.

Katanya, penyatuan budaya, nilai dan tradisi di bawah satu payung bukanlah suatu tugas yang mudah.

“Malah ia kadangkala disulami jerit perih yang menuntut pengorbanan dan jiwa besar dalam kalangan pemimpin mahupun rakyat seluruhnya.

“Bagaimanapun, Gabungan Muafakat Pertubuhan Etnik-Etnik Bumiputera negeri Sabah (MAGEBS) berjaya dan ia dibuktikan dengan pelancaran MAGEBS pada malam ini (semalam) selepas didaftarkan pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan MAGEBS dan Karnival Kebudayaan dan Keseniaan MAGEBS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, penubuhan MAGEBS adalah tepat pada masanya terutama pada era globalisasi ini.

Katanya, penyatuan semua kumpulan etnik Bumiputera di bawah satu payung adalah amat strategik dan penting sebagai perisai yang dapat menghalang pelbagai elemen-elemen perpecahan dan keganasan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Saya berharap MAGEBS akan menjadi satu payung untuk memantapkan lagi perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini.

“Tanpa benteng perpaduan dan kefahaman untuk saling hidup bertoleransi dalam kalangan penduduk, akan menyebabkan masyarakat kita akan pecah dan mudah untuk diperkotak-katikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, MAGEBS juga memainkan peranan untuk membantu mempromosi budaya dan kesenian etnik di negeri ini kerana masih banyak lagi khazanah budaya lama yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, dengan ketibaan pelancong yang semakin meningkat dan Sabah merekodkan seramai 1,012,119 pengunjung bagi tahun 2022, beliau melihat ini sebagai satu peluang besar untuk semua persatuan etnik memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing.

“Justeru, saya berharap MAGEBS akan memainkan peranan yang lebih besar dan bermakna dalam mengelola dan membantu kerajaan negeri melestarikan penglibatan etnik bumiputera dalam industri pelancongan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular