Pasukan Badminton Sabah, Juara Kumpulan Siri Pertama JET

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Badminton Sabah muncul juara siri pertama peringkat kumpulan B, Kejohanan Badminton 100plus Junior Elite Tour (JET) 2023 yang berakhir pada 5 Mac lalu, di Putrajaya.

Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Janih Bangud berkata, pasukan Sabah berjaya merangkul sebanyak enam pingat emas, empat perak dan lima gangsa membabitkan kategori berusia 12 hingga 16 tahun.

Katanya, antara pemain yang menjadi juara adalah Mohd Syahmi Rizq Senawing yang memenangi dua kategori perseorangan dan bergu bawah 12 tahun bersama pasangannya Mohd Firdaus Abdullah.

“Seorang lagi pemain Sabah, Datu Anif Isaac Datu Asrah turut menjuarai dua kategori iaitu perseorangan dan bergu lelaki bawah 16 tahun bersama pasangannya Hymns Isaiah Shim.

“Manakala dua pemain perseorangan perempuan bawah 14 serta 16 tahun, Lim Ke Xuan dan Jola Lim Zi Yu turut menjuarai kategori masing-masing,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Janih berkata, dua lagi pemain Mohd Airulsyam Ambri dan Mohd Nur Azhar Zunaide turut mengharumkan nama negeri apabila berjaya memenangi pingat perak dalam kategori perseorangan lelaki bawah 12 dan 16 tahun.

Manakala katanya, seorang lagi pemain Saidatul Saadiah Muhammad berjaya memenangi pingat perak bagi kategori perseorangan dan bergu bawah 16 tahun bersama pasangannya Jola Lim.

“Lapan lagi pemain yang turut mewakili negeri Sabah, Mohd Firdaus Abdullah, Kerwin Soh Jun Vui, Mohd Airulsyam Ambri, Muhd Aqalil Tarzan, Muhammad Iqbal Yusuf, Edwin Soong Pei Xuan dan Chua Jing Xuan serta Clarylyn Ashebelle Nuli menang pingat gangsa bagi kategori masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Janih berkata, pihak SBA mengucapkan tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan Sabah keseluruhannya.

Katanya, semangat juang dan sokongan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini amat dihargai.

“Teruskan semangat juang dan usaha untuk mengekalkan kejuaraan di siri kedua Kejohanan Junior Elite yang akan berlangsung di Negeri Sembilan pada 7 hingga 11 Jun depan,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *