HomeIsu tempatanRM350,000 dana diperuntuk atasi masalah bekalan air di UMS

RM350,000 dana diperuntuk atasi masalah bekalan air di UMS

Read Time:1 Minute, 22 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Sebanyak RM350,000 diperuntukkan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di dalam kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, peruntukkan itu antara lain bagi pelaksanaan inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.

“Pasukan projek ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), tenaga pakar dan ahli akademik dari Fakulti Kejuruteraan UMS.

“Usaha menjalankan proses penapisan air bersih ini juga akan dibantu oleh para penyelidik UMS yang berkemahiran dan berkepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Dr. Kasim berkata, pihak pengurusan tertinggi UMS amat memandang serius terhadap isu air yang kerap dihadapi oleh warga kampus.

“Kesannya bukan sahaja memberi impak kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman, tetapi juga kepada kakitangan yang berada di premis pejabat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang akan bersama-sama menjayakan projek ini,” katanya.

Untuk rekod, UMS kampus induk Kota Kinabalu sebelum ini melaporkan penggunaan sistem perpaipan dari punca air bukit dalam kampus bagi membekalkan sehingga 80,000 liter air sehari.

Pada masa yang sama, UMS juga menggunakan perkhidmatan lori tangki untuk membekalkan 300,000 liter air dari loji rawatan air (LRA) Penampang untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan bangunan sekitar kampus.

Antara lain punca adalah disebabkan catuan sementara yang terpaksa dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akibat ketidakmampuan LRA Telibong menampung keperluan penduduk Daerah Tuaran, Sepanggar dan sekitarnya iaitu 190 Juta Liter Sehari (MLD) berbanding hanya 164 MLD air terawat yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun, JANS memaklumkan isu gangguan bekalan air terawat itu dijangka selesai pada tahun 2024. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Dua pensyarah UMS terima pengiktirafan sebagai Felo IKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular