Kota Kinabalu : Sabah FC dijangka akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama pemain menjelang aksi Liga Super 2023 bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur Ahad ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, ini kerana beberapa pemain dilihat mengalami kecederaan.
“Mungkin ada beberapa perubahan yang akan dilakukan dalam kesebelasan utama, di mana kita mempunyai beberapa pemain seperti Telmo (Castanheira); Gabriel (Peres) dan juga Jailton (Paraiba) yang mengalami kecederaan termasuk Darren Lok.
“Jadi saya hanya akan dapat tentukan para pemain ini sama ada dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan esok dan kita mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum kita bermain dengan pasukan Sri Pahang,” katanya di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai prestasi dan stamina pemain selepas tiga perlawanan aksi Liga Super musim ini, Kim Swee percaya keadaan pemain adalah amat baik.
“Keadaan pemain amat baik dan saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup baik di mana para pemain yang diturunkan tidak kira pada kesebelasan utama ataupun yang dimasukkan menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya.
Sementara itu, Kim Swee turut memuji kombinasi antara pemain import Saddil Ramdani dan Darren Lok dalam beberapa aksi perlawanan sebelum ini.
“Saddil dan Darren bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya mendapatkan gol ataupun bermain dengan begitu baik antara mereka walaupun baru bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi para pemain yang lain juga menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.
“Jadi saya harap mereka dapat kekalkan prestasi mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya. – SABAH MEDIA