HomeUtama16,285 premis di Sabah diperiksa, 304 kes dihasilkan

16,285 premis di Sabah diperiksa, 304 kes dihasilkan

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 16,285 premis di seluruh negeri telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah untuk tempoh Januari hingga 11 Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, daripada pemeriksaan itu sebanyak 304 kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai akta.

“Semua kes yang dihasilkan telah dibawa kepada perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN dengan nilai kompaun sebanyak RM47,200.

“Manakala nilai rampasan adalah sebanyak RM1,050,392,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan tinjauan ke Pasar Besar Kota Kinabalu di sini pagi tadi.

Salahuddin berkata, tinjauan yang dilakukan itu adalah bagi meninjau tahap pematuhan peniaga ke atas penentuan harga maksimum bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (PHMAT).

Katanya, pada masa sama ianya juga adalah bagi memantau keberadaan bekalan barang-barang perlu dan kedudukan harga semasa bagi persediaan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Menjelang sambutan bulan Ramadan, Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Tambahnya lagi, langkah itu juga adalah bagi mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, KPDN Sabah telah melantik 170 peruncit daerah terpilih dan di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di Sabah.

Katanya, kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang di lantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular