HomeUtamaKerajaan Persekutuan digesa kaji semula dasar percukaian di Labuan - Masiung

Kerajaan Persekutuan digesa kaji semula dasar percukaian di Labuan – Masiung

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengkaji semula dasar percukaian yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi Labuan menyebabkan status bebas cukai di pulau itu semakin terhakis.

” Labuan akan terus ketinggalan dari arus perdana ekonomi jika kerajaan tidak mengembalikan sepenuhnya status bebas cukai di pulau itu, ” demikian menurut Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

Katanya, meskipun Labuan dikenali sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa yang terpenting di rantau ini, tapi pulau itu kini telah kehilangan seri umpama ‘bandar tua’ yang ditinggalkan.

“Pulau mutiara itu suatu ketika dahulu merupakan destinasi percutian terkenal dengan pusat beli belah bebas cukai yang murah, namun kini bertukar sebagai bandar lembap, ” kata Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) bertaraf menteri itu diminta mengulas isu percukaian di Labuan setibanya di Kota Kinabalu selepas mengetuai rombongan para pemimpin daerah Tongod ke Kuala Lumpur, semalam.

“Labuan tiada lagi tarikan pengunjung kerana harga barang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

“Status Labuan sebagai pulau bebas cukai sudah semakin terhakis berikutan kerajaan telah menyenaraikan produk tembakau, rokok dan minuman beralkohol sebagai barangan yang dikenakan cukai sejak 1 Januari 2021, ” katanya.

Menurut Masiung, sekarang hanya makanan ringgan seperti coklat, gula-gula dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai itupun harganya hampir sama di Sabah.

Beliau berkata, Labuan tersepit dengan masalah ekonomi yang lembap. Punca utama harga bahan mentah tinggi adalah kos pengangkutan.

“Kerana hampir semua barangan pengguna diangkut dari tanah besar Sabah menggunakan jalan darat kemudian merentasi lautan menaiki feri dari Menumbok,” jelasnya.

Masiung berkata, kebanyakan kargo dari semenanjung Malaysia dan luar negara di hantar terus ke tanah besar Sabah, menyebabkan pelaburan di pulau mutiara itu terus sepi meniti senja.

Mengulas lanjut isu tersebut, penduduk Labuan sudah bersuara melalui dewan-dewan perniagaan dan forum kebangsaan namun belum ada respon positif dari Putrajaya.

Katanya lagi, suatu ketika lalu Ahli Parlimen Labuan juga pernah membawa usul ke Dewan Rakyat sebagai isyarat kepada Putrajaya memulangkan kembali Labuan di bawah pentadbiran kerajaan wilayah Sabah.

Dasar baharu percukaian sekarang merupakan satu deskriminasi ekonomi kepada penduduk Labuan yang perlu dikongsi bersama dengan pengunjung luar.

Masiung mengesa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menstrukturkan semula dasar baharu percukaian di Labuan dan mengembalikan semua statusnya sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular