KUSKOP sedia dana bantu usahawan belia teruskan perniagaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensinya menyediakan pelbagai dana khusus dan latihan keusahawanan tahun ini bagi membantu usahawan belia meneruskan perniagaan.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi itu ialah Tekun Nasional, SME Corp, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Beliau berkata, TEKUN Nasional menyediakan peruntukan khas sebanyak RM10 juta melalui Program Tekun Niaga yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 usahawan belia.

“Selain itu, usahawan belia juga boleh memohon pembiayaan TEKUN Nasional melalui Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS), Program Usahawan Profesional Muda Bumiputera, Program KPT-MEDAC Siswapreneur dan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT),” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib bertanya apa jaminan kerajaan untuk terus membantu golongan usahawan khususnya usahawan belia dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka terutama dalam menghadapi krisis ekonomi.

Ewon berkata, SME Corp. memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dijangka memberi manfaat kepada 250 usahawan belia.

“Manakala Bank Rakyat Malaysia pula menyediakan pelbagai program pembiayaan termasuk kepada usahawan belia seperti Program Pembiayaan PMKS, Program Pembiayaan BR Flex-i, Program Pembiayaan BR ProNiaga, Program Pembiayaan RAKYAT2E, BRTani, Program Pembiayaan SPED 2.0, Program RAKYATpreneur dan Program Bank Rakyat UNIpreneur.

“Selain itu, Pernas juga menyediakan skim pembiayaan kepada usahawan belia seperti Skim Pra-francais, Skim Francais Induk, Skim Pembiayaan Francaisor, Skim Pembiayaan Francaisi, Skim Pembiayaan Pra-Francaisor dan Pra-Francaisi dan Skim FoodTruck.

“PERNAS menyediakan Program Business In Transformation (BIT) yang memberi bimbingan dan latihan bagi membangunkan pembangunan francais,” katanya.

Beliau berkata, dari segi latihan asas perniagaan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyediakan latihan keusahawanan kepada usahawan belia seperti Program Usahawan Dropship dan Ejen (DNA) yang dilaksanakan di universiti, kolej dan politeknik serta Kursus Asas Keusahawanan (KAK).

Ewon berkata, KUSKOP komited untuk terus membantu semua golongan usahawan termasuk usahawan belia dalam memastikan kelangsungan perniagaan.

Oleh itu katanya, kementerian itu melalui Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) telah merancang untuk melaksanakan beberapa program keusahawanan di kalangan graduan pada tahun 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada hampir 12,450 graduan melalui pelaksanaan program Latihan Intensif dalam talian bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Program Usahawan Perantis (SPACE), Program Penempatan Latihan Kerjaya & Keusahawanan TVET (GRACE), Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101) dan Program Kembara Kerjaya (ROAD),” katanya.  –SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *