HomeUtamaMPUKPPD dijalankan secara rintis di Sabah sebelum diperluas ke negeri lain

MPUKPPD dijalankan secara rintis di Sabah sebelum diperluas ke negeri lain

Read Time:3 Minute, 8 Second

Kuala Lumpur: Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) dijalankan secara rintis di 41 daerah termasuk tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah sebelum diperluaskan ke daerah negeri-negeri lain.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berharap penubuhan majlis itu dapat merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama sebagai satu pasukan antara golongan itu, pemimpin setempat, jabatan dan agensi di peringkat daerah.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menubuhkan majlis ini sebagai medium penyaluran informasi dan komunikasi berkaitan fungsi, peranan dan produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan agensi-agensinya.

“Majlis ini juga berperanan mengenal pasti isu dan pemasalahan yang dihadapi oleh komuniti usahawan dalam menjalankan operasi harian agar dapat diselesaikan di peringkat tempatan dan akar umbi.

“MPUKPPD yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah juga bertindak sebagai pusat khidmat setempat (OSC) bagi mengemaskini daftar aktif komuniti penjaja dan peniaga kecil.

“Selain itu, ia juga bertindak menyelesaikan permasalahan melibatkan aspek perlesenan, logistik dan forum isu-isu komuniti penjaja dan peniaga kecil berkaitan dasar ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Delegasi Program Lawatan Kerja Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Sabah ke KUSKOP, semalam.

Mesyuarat MPUKPPD akan diurus setiakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Tekun Nasional Cawangan Negeri yang bersidang setiap tiga bulan sekali dengan peruntukan RM5,000 setahun bagi setiap daerah.

Ewon berkata, Pelan Strategik KUSKOP 2023 menggariskan tiga objektif utama iaitu menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong dan memacu pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara, mempertingkat daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan yang fasilitatif dan efektif.

“Bagi merealisasikan objektif itu, lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program atau projek telah dirangka merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.

“Manakala, enam KPI telah ditetapkan dan perlu dicapai di bawah pelaksanaan Pelan Strategik ini.

“Pelaksanaan kesemua program yang dirancang dijangka memanfaatkan 543,080 usahawan dan bakal usahawan. Saya yakin, pendekatan ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan adaptasi teknologi dan pendigitalan dalam kalangan usahawan dan koperasi juga diberi keutamaan.

“Dalam hal ini, KUSKOP melalui SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 pertengahan tahun ini.

“KUSKOP yakin dengan adanya pelan tersebut ia mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan,” katanya.

Ewon berkata, dari segi pemerkasaan komuniti penjaja dan peniaga kecil, Kuskop akan melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027 dalam masa terdekat bagi menggariskan hala tuju serta fokus kerajaan menggalakkan mereka mentransformasikan operasi perniagaan secara dalam talian.

“Sejak 2020 sehingga kini, hampir 7,100 peserta dari kalangan penjaja dan peniaga kecil mendapat manfaat melalui transformasi pendigitalan,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP juga sentiasa menitik beratkan kebajikan dan keperluan golongan penjaja dan peniaga kecil terutamanya melibatkan kemudahan pembiayaan serta pelaksanaan program pembangunan dan latihan.

“Sebagai contoh, pelaksanaan Program Kesejahteraan Bandar – Program Menaik Taraf Tapak Hotspot l Pitstop Food Truck kepada golongan peniaga kenderaan saji atau ‘food truck’ melibatkan dana berjumlah RM1.75 juta.

“Program ini akan diteruskan tahun ini melibatkan lokasi-lokasi di PBT yang bersesuaian melalui perbincangan bersama MPUKPPD di peringkat daerah,” katanya.

Ewon berkata, perusahaan sosial (social enterprising) juga dilihat mampu menjadi wadah memudahcara pembangunan komuniti dan wilayah yang efektif khususnya luar bandar dan wilayah Borneo, Sabah dan Sarawak yang mempunyai capaian terhad daripada aspek geografi dan infrastruktur.

“Justeru, pelaksanaan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 sebagai hala tuju nasional pembangunan keusahawanan sosial harus diperkasakan agar dapat menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya