KOTA KINABALU: Polis sedang giat memburu seorang suspek lelaki terlibat dalam kes samun tanpa senjata dalam satu kejadian di sebuah premis di Universiti Apartment dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah
berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu seorang perempuan yang juga mangsa kejadian kes samun tanpa senjata pada 14 Mac 2023 jam lebih kurang 1.29 pagi.
Katanya, pengadu telah disamun oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada hari yang sama jam lebih kurang 12.12 tengah malam semasa pengadu di tempat kerjanya di sebuah premis di Universiti Apartment, Kota Kinabalu.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa hanya berseorangan dalam premis dan semasa hendak menutup kedai telah didatangi oleh suspek seorang lelaki yang memakai topi keledar lalu merampas telefon bimbit mangsa dari pegangannya dan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal (no. pendaftaran tidak diketahui).
“Walau bagaimanapun, kelibat serta wajah suspek telah berjaya dirakam melalui rakaman litar tertutup (CCTV) dalam premis tersebut seperti mana gambar yang dipaparkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Mohd Zaidi berkata, butir-butir suspek semasa kejadian iaitu suspek memakai baju t-shirt kolar bulat warna putih, badan kurus, berjambang dan berambut panjang, berumur lingkungan 30-an, bangsa dipercayai warga tempatan dan memakai helmet warna putih bertulis “SGV”.
Beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya ternampak suspek bagi memudahkan pihak polis untuk membuat tangkapan.
“Sebarang maklumat, sila berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Allexius Sapikit di talian 016-3888828.
“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam dimana dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan dan kealpaan mangsa.
“Elakkan juga ke tempat atau kawasan yang terpencil dan sunyi secara berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.