Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Tamparuli: Inovasi dan sosial memainkan peranan penting dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan bekalan air bersih khususnya kepada penduduk luar bandar dengan kos yang optima.
Menteri Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, permasalahan bekalan air bersih ke kawasan luar bandar terpencil di negeri ini merupakan suatu isu yang amat dititikberatkan Kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Bagaimanapun, kos pembangunan yang besar untuk penyambungan paip dari loji rawatan Jabatan Air ke lokasi kampung-kampung yang terpencil menghindar usaha murni kerajaan untuk menyalurkan air terawat ke kawasan luar bandar yang terletak jauh dari jalan raya utama.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucap tahniah kepada semua yang terlibat di atas ciptaan idea yang kreatif dan berimpak tinggi dan dapat menyumbang kepada prasarana dan kesejahteraan masyarakat luar bandar yang terpencil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmikan Projek Air Graviti Bersih Teknologi Hijau Kampung Koliposuon di sini hari ini.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, inovasi bekalan air graviti bersih menggunakan teknologi hijau yang dihasilkan oleh anak tempatan Sabah ini juga adalah suatu kebanggaan Kerajaan Negeri.
Katanya, ianya juga merupakan satu pengiktirafan kepada kebolehan teknikal dan daya saing anak-anak Sabah.
“Saya difahamkan konsep projek adalah berbentuk solusi sains dan sosial yang mana komuniti kampung diperkasakan dengan pengetahuan.
“Manakala penglibatan langsung semasa pembinaan dan komuniti bertanggungjawab terhadap operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air selepas penyiapan projek,” katanya.
Sementara itu, Jahid berkata, inisiatif yang dilaksanakan juga selaras dengan konsep kerajaan Negeri Sabah yang mahukan komuniti luar bandar diperkasakan dengan ilmu pengetahuan, berdikari dan berganding bahu dalam membangunkan dan menjaga kemudahan awam yang dibina.
“Oleh itu, saya selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan wakil kerajaan Negeri amat menghargai inisiatif ini dan akan menyarankan kepada pucuk pimpinan negeri dan agensi- agensi kerajaan untuk mengambil contoh konsep pelaksanaan projek ini untuk direplikasi ke kawasan- kawasan pedalaman di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA