FPEP UMS kongsi ilmu bersama komuniti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program pemindahan ilmu kepada komuniti melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kg. Sayap, Kota Belud baru-baru ini.

Pengarah Program Universiti Bersama Komuniti, Dr. Tini Maizura Mohtar berkata, program tersebut bertujuan memberi kesedaran melalui pemindahan ilmu kepada penduduk kampung tentang kepentingan kebersihan, kesihatan dan keselamatan makanan dalam pengurusan sulap di Kg. Sayap sebagai potensi produk baharu dan perkhidmatan pelancongan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dalam diri warga FPEP melalui aktiviti kesukarelawan dan libat sama bersama agensi kerajaan, bukan kerajaan dan komuniti.

“Di samping itu, program ini juga dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan penduduk dan ekonomi setempat melalui nilai tambah dalam ilmu berkaitan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan sempena program tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Nor Azma Rahlin selaku penolong pengarah program tersebut memaklumkan program CSR di Kg. Sayap itu turut mendapat sumbangan daripada Lembaga Pelancongan Sabah.

“Program ini turut mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjemput Dr. Spencer Heedly Mogindol sebagai penceramah jemputan yang berkongsi topik perbincangan mengenai “Amalan Baik di Kawasan Pendakian”.

“Beliau turut memberi penerangan berkaitan penyakit berjangkit yang boleh berlaku di kawasan tarikan pelancongan khususnya pelancongan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim dalam ucapan ketika menyempurnakan perasmian penutupan program tersebut berkata, beliau sangat menghargai penerimaan yang baik daripada kalangan penduduk Kg. Sayap pada setiap program CSR yang dijalankan di kampung tersebut.

“Program CSR ini merupakan aktiviti fakulti yang ketujuh sejak dilaksanakan pada tahun 2017, justeru syabas diucapkan kepada pihak pengurusan UMS dan FPEP, serta Kelab Kebajikan dan Rekreasi FPEP atas kerjasama dan sokongan penuh bagi menjayakan program ini.

“Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua penduduk Kg. Sayap mahupun kepada peserta secara khususnya, serta akan terus dianjurkan siri lain pada masa akan datang,” ujar beliau.  – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *