Ini satu penghargaan buat para pemain – Kim Swee

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Pemilihan lima pemain Sabah FC yang dipanggil Ketua Jurulatih pasukan Kebangsaan Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat bermula Sabtu ini disifatkan sebagai satu penghargaan kepada barisan pemain yang terpilih.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, para pemain yang terpilih itu juga akan dapat mempamerkan kualiti permainan yang terbaik ketika mewakili negara.

“Ini satu penghargaan buat para pemain di mana saya selalu katakan apabila kita dapat mewakili negara itu merupakan satu pencapaian yang terbaik dalam karier bola sepak kita.

“Saya harap lima pemain ini akan dapat mengekalkan disiplin mereka dan seterusnya mengikuti lagi selepas ini pasukan kebangsaan jika bermain dalam kejohanan-kejohanan yang berprestij.

“Di mana ini akan memberi pengalaman yang baik untuk mereka kembali ke pasukan Sabah FC untuk membantu pasukan kita supaya kita lebih mencabar dalam saingan Liga Super pada tahun ini,” katanya.

Lima pemain Sabah FC yang dipanggil ialah Damien Lim; Darren Lok; Dominic Tan; Stuart Wilkim dan Daniel Ting.

Mereka akan mula berkumpul di Johor Bharu, bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mac berdepan Turkmenistan dan Hong Kong (28 Mac) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Dua aksi persahabatan tersebut adalah sebahagian persiapan Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari depan.

Skuad kendalian Pan Gon itu turut menampilkan lima muka baharu daripada 27 pemain bagi kem latihan kali ini termasuk penjaga gol Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting dan Feroz Baharudin.

Berdasarkan senarai berkenaan, jurulatih dari Korea Selatan itu mengekalkan seramai sembilan daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 pada Januari lalu.

Sementara itu, 13 pemain termasuk Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero, Lee Tuck, Nathaniel Shio Hong Wan, Afiq Fazail dan Sharul Nazeem Zulpakar berada dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain.– SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *