SEMPORNA: Seramai 100 pelajar maahad tahfiz menerima sumbangan naskhah al-Quran menerusi program keagamaan yang berlangsung di Masjid Ar-Rahman, di sini.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, pada program solat Subuh berjemaah di masjid berkenaan.

Sumbangan berkenaan membabitkan sebanyak 100 naskhah al-Quran yang disampaikan kepada 100 pelajar maahad tahfiz.
Program berkenaan turut diisi dengan sesi tadarus al-Quran sebelum solat Subuh yang diimamkan Imam Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi.

Majlis diteruskan dengan pengisian tadabbur Subuh yang disampaikan Ustaz Dr Julfikar Abd Mijan.
Turut hadir Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ramlan Awang Ali; serta Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar

Penyampaian sumbangan itu menjadi antara pengisian utama program berkenaan yang menghimpunkan pemimpin dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan di daerah ini.



