Sepakan penalti hiasi perlawanan Sabah FC bertemu Penang FC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Lima sepakan penalti telah menghiasi perlawanan antara Sabah FC bertemu Penang FC yang menyaksikan skuad Badak berjaya menewaskan pasukan pelawat 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam ini.

Sebaik wisel pertama ditiup, tuan rumah memulakan serangan apabila Darren Lok melakukan percubaan terus ke gawang pasukan lawan.

Minit ketiga perlawanan, Sabah FC berjaya mendahului perlawanan menerusi tandukan ketua pasukan Park Taesu yang menerima bola menerusi sepakan sudut yang dilakukan Jailton Paraiba menjadikan keputusan 1-0.

Dua minit berselang, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan ketua pasukan Penang FC Rafael Vitor pada minit ke-5 namun percubaannya sekadar melintasi gawang pasukan tuan rumah.

Sekali lagi tuan rumah dikejutkan dengan gol penyamaan menerusi sepakan Hassan Saad pada minit ke-7 menjadikan kedudukan berubah 1-1.

Minit-minit perlawanan separuh masa pertama, Sabah FC berjaya dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang Darren Lok dirempuh penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil pada minit ke-41.

Darren tidak menunggu lama untuk menyudahkan sepakan itu pada minit ke-44 menjadikan Sabah FC mendahului keputusan 2-1.

Tamat masa rehat, Sabah FC terus menggembirakan lebih 14,000 penyokong tuan rumah yang hadir dengan gol ketiga menerusi sepakan Daniel Ting pada minit ke-55 selepas menerima bola hantaran Jailton Paraiba menjadikan skuad Badak itu mendahului 3-1.

Lima minit berselang, Park Taesu sekali lagi menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-60 selepas menerima bola hantaran daripada Saddil Ramdani menjadikan kedudukan berubah 4-1.

Pasukan pelawat yang tidak mahu pulang dengan satu gol terus mengatur serangan ke gawang tuan rumah dan akhirnya berjaya dihadiahkan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan separuh masa kedua menerusi sepakan pemain import Adriano Narcizo pada ke-91 perlawanan menjadikan kedudukan 4-2.

Tambahan masa yang diberikan pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria memberi ruang untuk tuan rumah menambah lagi gol kelima menerusi sepakan penalti Rizal Ghazali pada minit ke-102.

Sebelum itu, Sabah FC turut dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain tuan rumah dirempuh didalam kotak penalti yang disempurnakan pemain import Gabriel Peres namun sepakannya terkena tiang Penang FC.

Dengan keputusan itu, Sabah FC kekal ditangga kedua Liga Super dengan 13 mata dibelakang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Perlawanan seterusnya, Sabah FC akan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Mac depan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *