HomeUtamaSegerakan pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang Pulau Sebatik – Andi

Segerakan pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang Pulau Sebatik – Andi

Read Time:1 Minute, 42 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk menyegerakan projek pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang Pulau Sebatik yang menjadi keperluan segera kepada penduduk setempat.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pada ketika ini penduduk di kampung berkenaan dan sekitar pulau itu terpaksa menaiki bot selama 45 minit hingga satu jam untuk sampai ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan.

“Kelewatan pembinaan klinik kesihatan di kawasan tersebut dilihat menyukarkan penduduk yang terpaksa menaiki bot hampir satu jam untuk sampai ke Hospital Tawau.  Justeru saya ingin bertanya kepada KKM bilakah pembinaan klinik kesihatan ini dijangka siap sepenuhnya.

“Saya difahamkan, klinik kesihatan ini dikategorikan sebagai Klinik Kesihatan Kelas Enam dan dijangka menelan kos kira-kira RM30 juta meliputi kos bangunan, kuarters and peralatan, sepatutnya telah mula dibina pada tahun 2019.

“Bagaimanapun, pembinaannya terpaksa ditangguhkan kerana terdapat beberapa isu berkaitan pemilikan tanah. Terkini, saya difahamkan bahawa projek ini telah berada pada fasa akhir perancangan reka bentuk struktur sebelum ianya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahas pada peringkat jawatankuasa KKM di Dewan Rakyat di sini kelmarin.

Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Baru turut memohon agar bilangan ambulans yang lengkap dengan keperluan pegawai perubatan dan menyelamat ditambah di Klinik Desa Kalabakan.

Katanya, ia adalah bagi memenuhi keperluan pertambahan penduduk, memandangkan pada ketika ini klinik itu hanya mempunyai satu ambulans sahaja dan ianya kurang dilengkapi dengan kelengkapan pegawai perubatan dan menyelamat.

“Tambahan pula, jarak perjalanan dari Kalabakan ke Tawau adalah sejauh 90 kilometer, iaitu memerlukan masa hampir sejam lebih untuk sampai.

“Justeru itu, ambulans yang lengkap dengan kelengkapan medik dan menyelamat sudah pasti amat diperlukan pada waktu-waktu kritikal.  Saya juga ingin bertanya bilakah bangunan baharu Hospital Tawau akan dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut berharap agar isu-isu berkaitan kepentingan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan dapat pembelaan yang sewajarnya oleh KKM.

“Justeru itu, seluruh kepercayaan diletakkan di bawah kepimpinan Kerajaan Madani yang prihatin dengan keperluan penduduk agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat terapung ditemui di sungai Kg Iban Merotai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular