Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan hampir 4,000 orang menerusi Program Beaufort Cops Fun Run 2023.
Program yang julung kalinya itu diinspirasikan oleh Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob dan dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik termasuk Pegawai Daerah, Mohd Nazi Ajun.
LARIAN SANTAI 5KM, 10KM
Menurut Yusoff Zaki, Beaufort Cops Fun Run berjaya menarik minat 2,000 peserta dari beberapa daerah dan 70 peratus daripadanya adalah golongan muda merangkumi jarak 5km dan 10km bagi kategori lelaki dan wanita.
Acara perasmian dan pelepasan atau flag off disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih diiringi Yusoff Zaki tepat jam 6.30 pagi Sabtu lepas.
Dalam ucapannya, Yusoff Zaki memaklumkan program berkenaan bertujuan untuk membudayakan sukan untuk meningkatkan tahap kesihatan, meluaskan hubungan serta jaringan interaksi dengan rakan strategik serta mendekati masyarakat dalam usaha membanteras jenayah selaras dengan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
Antara rakan strategik yang terlibat ialah Pejabat Daerah Beaufort, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Sawit Kinabalu, Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd, Bank Simpanan Nasional. Bank Rakyat, Life Water Industries Sdn Bhd (K2) dan Sabah Credit Corporation.
LARIAN KECERGASAN, KESIHATAN & ELAK JENAYAH
Pelajar SMK St. Paul Beaufort, Davelyn Joyce, 16, yang mula menyertai acara fun run bersama rakan-rakan serta keluarga hingga kini kekal menjadi hobinya. Malah, bekas atlet larian jarak jauh itu juga telah mengumpul banyak medal melalui acara larian di seluruh Sabah.
“Saya tidak juga selalu juara, kadang-kadang nombor dua, tiga atau empat begitulah… di seluruh Sabah bila ada fun run, saya pasti akan join, ia baik untuk kesihatan kita semua,“ kata Davelyn yang menjuarai Kategori Wanita (5km).
Bagi anggota Tugas Am, Koperal Amran Bangala, 59, yang bertugas di IPD Beaufort, sehari tanpa berlari menjadikan hidupnya tidak lengkap.
“Saya akan berlari di mana sahaja yang boleh halaman rumah, depan balai…amalan saya sejak rekrut untuk maintain tahap kecergasan fizikal dan kesihatan.
“Alhamdulillah, sampai sekarang saya juga bebas daripada penyakit-penyakit kronik,” ujarnya.
Seperti dijangka, pemenang kategori Lelaki (10km) dalam genggaman Arikchelly Aryl Arikah, 22, dari Kg Mantob Kiulu dek kejayaannya di beberapa penganjuran bertaraf antarabangsa sejak empat tahun lepas. Tambahan pula, beliau baharu sahaja menjuarai larian 50km dalam Bear Hill Trail Challenge 50km di Brunei Darussalam pada 6 Mac lalu.
Sebagai belia yang aktif sukan, Arikchelly menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda agar bijak menguruskan masa demi kesihatan, keluarga dan masyarakat.
“Golongan belia perlu bijak menguruskan masa supaya dapat mengimbangi keperluan kerana ramai belia kini cenderung dengan masalah screen time (Gadjet) sehingga tanpa mereka sedari mereka telah kehabisan banyak waktu berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Apabila join larian, sekurang-kurangnya masa digunakan dengan bermanfaat untuk kesihatan diri dan lebih ramai kawan untuk kita kongsi maklumat mengenai peluang-peluang pekerjaan, perniagaan, pelancongan dengan rakan di daerah atau negeri lain.
“Bagi saya, aktiviti sukan dapat mengelakkan belia daripada terlibat dengan kegiatan tidak sihat , mengambil bahan terlarang, jenayah dan sebagainya,” jelasnya yang mencatat masa 31 minit.
THE PINCHERS BAND
Nama The Pinchers Band mungkin kurang diketahui umum, tetapi mampu mengiringi artis legend, Clarice John Martha dan Juara Bintang RTM 2016, Rosario Bianis yang masing-masing mendendangkan tiga buah lagu hits mereka pada program terbabit. Selain itu, The Pinchers juga mengiringi 10 daripada 20 lagu yang disediakan.
Ditubuhkan pada 13 Ogos 2021, band IPD Beaufort itu adalah di bawah naungan Yusof Zaki dan Pengurus Band, ASP Weddrin Mojingkin yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah.
Manakala, anggota band terdiri daripada Sarjan Razaleigh Pg Md Yassin (vokalis), Koperal Syachruddin Yakup (vokalis), Koperal Rudy Ombou (gitaris utama), Koperal Faezah Jeman (vokalis), Koperal Mohammad Fhaltinee Tajuddin (drummer) dan Ramidin Diun (kibodis).
Bagi memantapkan persembahan, beberapa anggota dilibatkan iaitu pemain bass, Koperal SP Junior Guntad Sotelo (IPD Papar), vokalis, Koperal SP Alinah Ali Omar (IPD Labuan) serta dua anggota ThunderStorm Band IPD Kota Kinabalu, Koperal SP Zuraidah Ahmad (vokalis) dan Penyusun Muzik dan kibodis, Koperal Hasdamuddin Dakhlan.
RIADAH SEKELUARGA
Pelbagai acara diadakan antaranya program derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna lukisan untuk kanak-kanak, pertandingan lato-lato, di samping beberapa acara sukaneka.
Paling menarik, hadiah utama cabutan tiket bertuah merupakan sebuah motorsikal, selain perkakasan dapur serta peralatan elektrik antaranya, peti sejuk, mesin basuh, televisyen, basikal dan sebagainya.
Kesimpulannya, Beaufort Cops Fun Run 2023 bukanlah berkisar mengenai pertandingan larian semata-mata tetapi lebih menonjolkan kemantapan dan kesepaduan jaringan kerjasama (networking) di antara Polis dengan pemimpin serta komuniti setempat. Syabas warga beaufort!/Penerangan-