HomeIsu tempatanUMS, Gamalux Oils berminat teroka bahan buangan kelapa sawit

UMS, Gamalux Oils berminat teroka bahan buangan kelapa sawit

Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Gamalux Oils Sdn Bhd bagi menjalankan penyelidikan bahan buangan kelapa sawit yang dikenali sebagai De-Oiled Bleaching Earth (DOBE).

Menurut Dekan FKJ, Profesor Madya Dr. Ismail Saad, kerjasama melalui satu surat niat oleh kedua-dua pihak itu akan mengkaji dan meneroka kegunaan DOBE dalam sektor pembinaan.

Katanya, kajian awal yang dijalankan oleh penyelidik FKJ menunjukkan DOBE mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan dalam penstabilan tanah dan bahan untuk menghasilkan konkrit.

“Penggunaan DOBE sebagai bahan di dalam industri pembinaan dipercayai mampu mengurangkan sisa bahan buangan DOBE yang dihasilkan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit dan juga memberikan impak yang positif kepada persekitaran.

“Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut perlu dilakukan untuk memahami implikasi penggunaan DOBE dalam penstabilan tanah dan penghasilan konkrit bagi memastikan konkrit yang dihasilkan memenuhi tahap piawai yang ditetapkan,” ujarnya.

Tambah Ismail, ketika ini FKJ secara aktif sedang menjalankan penyelidikan melibatkan bahan buangan seperti plastik, tayar dan kaca untuk digunakan sebagai bahan dalam penghasilan bata paver block.

“FKJ juga telah menubuhkan unit penyelidikan yang dinamakan Unit Penyelidikan Bahan Hijau dan Teknologi Pembinaan Termaju (GMACT) yang banyak menumpukan kajian berkaitan bahan hijau untuk digunakan dalam industri pembinaan,” katanya.

Pada majlis menandatangani surat niat itu FKJ diwakili Ismail dan Gamalux Oils diwakili oleh Ketua Fasiliti Kilang, James Thiruchelvam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Benedict Bisono; Ketua Bahagian Kelestarian, Persekitaran Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sabah, Aaron F. Sualim serta Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FPP UMS jayakan konsert muzikal kanak-kanak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular