HomeIsu tempatanTeruja penampakan Bintang Kejora (planet Zuhrah) berdampingan bulan - Izzah

Teruja penampakan Bintang Kejora (planet Zuhrah) berdampingan bulan – Izzah

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sejak semalam banyak perkongsian gambar di media sosial mengenai penampakan planet Zuhrah (Venus) berdekatan dengan bulan.

Ramai yang teruja melihat fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa yang berlaku sekitar waktu maghrib waktu Malaysia.

Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan kelihatan dari atas Bukit Kokol pada jam 6.50 petang, turut diserikan dengan suasana pemandangan bandaraya Kota Kinabalu. – Foto ihsan Nur Izzah.

Antaranya, sekumpulan anak muda berkongsi pengalaman pertama kali melihat fenomena itu di kawasan tanah tinggi Bukit Kokol, kira-kira 10 kilometer dari Kota Kinabalu.

Nur Izzah Syahirah Jumatin, 23, berkata mereka empat sekawan memang berhasrat untuk melihat fenomena itu sambil berbuka puasa di atas Bukit Kokol yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi melihat pemandangan matahari terbenam dan keseluruhan bandaraya Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah, kami sangat teruja melihat fenomena ini, rezeki Ramadan hari kedua ini, kami berbuka puasa dengan tambahan juadah melihat bintang kejora (Zuhrah) berdampingan dengan bulan, sangat indah dengan cuaca yang sejuk, pemandangan bandaraya Kota Kinabalu yang sangat cantik cahaya berwarna-warni pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada hari ini.

Izzah berkata, mereka hanya merakamkan gambar fenomena itu dengan menggunakan telefon bimbit dan dengan cuaca yang baik fenomena itu mula kelihatan pada jam 6.50 petang, berakhir kira-kira jam 8 malam tadi.

Sementara itu, menurut satu perkongsian menerusi Falak Online, Shahrin Ahmad yang merupakan seorang penggiat astronomi berkata, fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di mana zon penghijaban gelincir atau dalam istilah astronomi grazing occultation ialah kawasan di mana sebahagian daripada cakera planet Zuhrah akan terlindung oleh sisi Bulan.

“Zuhrah apabila dilihat menerusi teleskop akan kelihatan mempunyai bentuk (bukan titik seperti bintang). Kadangkala ia berbentuk bulat seperti bulan purnama, ada ketika seperti bulan separuh dan ada juga seperti bulan sabit.

“Fenomena ‘kegelinciran’ ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya dari Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit akibat daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung-ganang dan lurah-lurah di ufuk permukaan Bulan.

“Bagi anda peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan Baily’s Beads.

“Kali terakhir fenomena ini berlaku di Malaysia ialah pada 27 Mei 2022 lepas,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima sumbangan untuk projek kajian dan pembudayaan STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular