HomeSukanKami perlu lebih pantas dalam aksi menentang Hong Kong - Darren

Kami perlu lebih pantas dalam aksi menentang Hong Kong – Darren

Read Time:1 Minute, 43 Second

BERNAMA

Johor Bahru: Pemain Harimau Malaya bersedia untuk melakukan corak permainan lebih pantas seperti yang dimahukan ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon apabila Malaysia bertemu Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, Selasa depan.

Penyerang pasukan kebangsaan kelahiran England Darren Lok berkata semua pemain jelas tentang pendekatan taktikal yang Pan Gon mahu cuba laksanakan sejak jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu mengambil alih pasukan berkenaan awal tahun lepas.

“Jurulatih (Pan Gon) berada di sini selama setahun, kami amat mengetahui jenis bola sepak yang beliau inginkan dan sejak beliau datang ke kem latihan pertama, beliau jelaskan bahawa inilah (pantas) jenis bola sepak yang beliau mahukan (kami bermain).

“Sebagai pemain kami harus memahaminya sekarang, jadi kami perlu pastikan lebih pantas ketika menentang Hong Kong dan berharap dapat mempamerkan persembahan yang baik dan mengumpul kemenangan,” katanya kepada media ketika ditemui di hotel didiami pasukan di sini semalam.

Pan Gon sebelum ini mempersoalkan keupayaan pemainnya dalam mengekalkan prestasi optimum pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0 di Iskandar Puteri, Khamis lepas.

Pan Gon berkata beliau menuntut banyak daripada pemain sepanjang perlawanan dan melihat sebahagian mereka bergelut untuk mengikut rentak, selain berkata sekiranya pasukan mempunyai pemain yang lebih pantas, Malaysia mungkin menjaringkan lebih banyak gol.

Sementara itu, penyerang Sabah berusia 33 tahun itu berkata beliau tidak kecewa selepas gagal menjaringkan gol menentang Turkmenistan kerana yang penting beliau memainkan peranan yang baik untuk membantu kemenangan pasukan.

“Selalunya, ia bukan mengenai gol, selagi saya membantu pasukan dan mereka beraksi dengan baik, itu yang penting. Perlawanan menentang Turkmenistan adalah persembahan yang hebat dan sama pentingnya kami memenangi perlawanan ini (berhadapan Hong Kong),” katanya.

Darren yang menjaringkan dua gol pada Liga Super musim ini setakat ini, berazam untuk menggandakan usahanya menentang Hong Kong dan berusaha untuk mencipta namanya sebagai penjaring.

Kali terakhir beliau menjaringkan gol di pentas antarabangsa apabila Malaysia menewaskan Singapura 4-1 pada aksi final Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Januari lepas.-BERNAMA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular