Koperasi di Sabah digesa ceburi aktiviti perniagaan francais

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Marudu: Koperasi di seluruh negara khususnya di negeri ini supaya menceburi aktiviti perniagaan secara francais.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi membantu usahawan francais.

“Kita ada banyak produk yang telah didaftarkan sebagai produk francais. Baru-baru ini seramai 62 usahawan menyertai program Business in Transformation (BIT) yang mengusahakan pelbagai produk dan lebih 400 usahawan telah mendaftar di bawah produk mereka.

“Oleh itu, bagi koperasi yang berminat, mereka boleh menghubungi Kementerian atau Pernas untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai kemudahan pembiayaan ini.

“Program BIT adalah satu program transformasi perniagaan untuk para usahawan kecil menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad, di Medan Marudu, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sehingga Disember 2022 bilangan koperasi yang berdaftar di seluruh negara sebanyak 15,315 koperasi dengan jumlah keanggotaan seramai 7.05 juta orang. 

“Dari segi modal syer/yuran keanggotaan, sejumlah RM16.99 bilion telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.90 bilion. 

“Bagi Sabah pula, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 buah, dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang. 

”Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta, aset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak koperasi baharu diwujudkan di Sabah pada masa akan datang agar aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi dapat dikembangkan.

Mengenai Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Ewon berkata, ia telah diperakukan di peringkat kabinet persekutuan.

“Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan isu pelaksanaan dan keperluan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil dapat ditangani secara bersasar dan diselesaikan secara tuntas. 

“Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan dimulakan secara rintis di Sabah. Manakala di Sarawak pula, ia dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Peringkat Bahagian (MPUB) yang dipengerusikan oleh Timbalan Residen. 

“Di Semenanjung, memang ada jawatankuasa sedia ada dan kita akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri sama ada menggunakan sepenuhnya konsep ini atau mengubah sedikit jawatankuasa penyelerasan sedia ada di negeri masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *