hasrat Zii Jia & beregu lelaki tertangguh, kandas di separuh akhir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KUALA LUMPUR: Impian untuk melihat jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mara ke pentas final Terbuka Switzerland tidak kesampaian apabila kecundang di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe, awal pagi tadi.

Pada pertemuan pertama antara mereka di St Jakobshalle Basel itu, Zii Jia yang menduduki ranking keempat dunia tewas straight set 11-21, 14-21 di tangan Watanabe yang berada di ranking lebih jauh daripadanya, ke-37, dalam tempoh 27 minit di separuh akhir.

“Dia bermain dengan begitu baik. Saya fikir dalam setiap perlawanan ada menang dan ada kalah, jadi saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini,” kata Zii Jia.

Untuk rekod, ini adalah separuh akhir kedua buat dirinya bagi musim ini selepas turut mara ke pentas saingan sama di Seluruh England sebelum ini.

Juara Seluruh England 2021 itu memulakan kempen 2023 dengan hambar apabila ditunjuk jalan keluar pada awal pusingan pertama di Terbuka Malaysia pada Januari lalu sebelum tewas di pusingan kedua Terbuka India selepas itu.

Keputusan sebegitu terus menghantuinya di Masters Indonesia apabila tewas di pusingan kedua dan memulakan kempen di Eropah juga dengan langkah kiri di Terbuka Jerman.

Namun pemain berusia 24 tahun itu semakin menunjukkan rentaknya dengan kembali berada di separuh akhir Seluruh England dan juga Terbuka Switzerland.

“Setakat ini separuh akhir, satu keputusan yang baik,” katanya.

Wakil beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut tersingkir di separuh akhir selepas tewas di tangan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 19-21, 21-17, 17-21.

Perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 9 minit itu menyaksikan gandingan itu kini sudah menewaskan mereka sebanyak tiga kali dalam enam pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir Rankireddy-Shetty mencatat kemenagnan ke atas Yew Sin-Ee Yi adalah di pentas suku akhir kejohanan yang sama pada tahun 2021 dan pada ketika itu mereka mencatat kemenangan 12-21, 21-19, 21-12.

“Kami sudah cuba yang terbaik. Di set ketiga, kami bermula dengan baik dan cuba mengejar namun kami sudah terlalu lewat. Saya fikir, kami mungkin mampu melakukan yang lebih baik tetapi kami akan terus mencuba lagi pada masa akan datang.

“Selepas ini, kami akan pulang ke Malaysia dan berehat sebelum kembali mempersiapkan diri untuk Kejohanan Badminton Asia (BAC) pula,” kata Yew Sin. – BH

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *