HomeUtamaDonald Mojuntin kenangTragedi Double Six, seru pertahan hak Sabah

Donald Mojuntin kenangTragedi Double Six, seru pertahan hak Sabah

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menyeru rakyat Sabah untuk terus mempertahankan hak, maruah dan masa depan negeri ini sempena ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six yang diperingati hari ini.

Menurut beliau, tragedi yang berlaku pada 6 Jun 1976 itu bukan sekadar peristiwa hitam dalam sejarah negeri, malah menjadi peringatan penting bahawa masa depan Sabah perlu terus dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen mempertahankan hak serta kepentingan rakyat.

“Bagi saya, Tragedi Double Six bukan sekadar peristiwa yang perlu dikenang. Ia adalah peringatan bahawa masa depan Sabah mesti sentiasa dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Donald, yang juga anak kepada mendiang Datuk Peter J. Mojuntin, antara pemimpin yang terkorban dalam tragedi berkenaan, berkata jasa, pengorbanan dan semangat perjuangan generasi terdahulu perlu terus dihargai dan dijadikan inspirasi kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, semangat tersebut menjadi asas kepada perjuangan Sabah First yang menekankan usaha mempertahankan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Katanya, perjuangan itu bukan bertujuan memisahkan Sabah daripada Malaysia, sebaliknya memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dihormati, dilaksanakan serta dipertahankan sepenuhnya.

“Perjuangan menuntut hak 40 peratus, kuasa-kuasa yang dijamin kepada Sabah, pembangunan yang adil serta penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah sebahagian daripada tanggungjawab generasi hari ini untuk meneruskan legasi perjuangan mereka yang telah mendahului kita,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Sabah supaya terus bersatu tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik bagi menghadapi cabaran semasa serta memperkukuhkan kedudukan negeri.

“Hanya melalui perpaduan kita mampu memperkukuhkan suara Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.

Tragedi Double Six, yang turut dikenali sebagai Kemalangan Double Six, berlaku pada 6 Jun 1976 apabila sebuah pesawat GAF Nomad milik Sabah Air yang dalam penerbangan dari Labuan terhempas di kawasan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Nahas itu mengorbankan kesemua 11 individu di dalam pesawat, termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens; Menteri Kerajaan Negeri, Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter J. Mojuntin dan Chong Thien Vun; Penolong Menteri, Darius Binion; Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Dr Syed Hussein Wafa; Isak Atan, Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah; Koperal Said Mohammad, pengawal peribadi Tun Fuad; juruterbang pesawat, Kapten Gandhi Nathan; serta anak sulung Tun Fuad, Johari Stephens.

Tragedi yang meragut barisan kepimpinan tertinggi negeri itu kekal sebagai antara peristiwa paling bersejarah dan menyayat hati dalam perjalanan Sabah sejak pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, Donald mengajak seluruh rakyat Sabah menjadikan ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six sebagai medan memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan hak, maruah dan masa depan negeri demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Sabah United, Sabah First. Lest We Forget,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi terima kunjungan hormat delegasi Kinara Energy, Shandong Yingbao

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular