Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Shah Alam : Sabah FC tetap menghormati pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC khususnya dengan keupayaan yang dimiliki apabila bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC Ahmad Marzuki Nasir berkata, JDT boleh dianggap sebagai penanda aras atau ‘benchmark’ kepada pasukan di negara ini apabila bertemu dengan skuad kendalian Esteban Solari.
“Kita memang hormati JDT sebagai satu pasukan yang boleh kita katakan sebagai ‘benchmark’ di Malaysia dimana semua pasukan mahu mengejar.
“Kalau dapat sesuatu dari SSI itu juga sudah cukup baik dan ini juga adalah satu yang baik untuk liga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Fujifilm Malaysia dan Sabah FC di sini hari ini.
Ahmad Marzuki berkata, persiapan sesebuah pasukan juga haruslah baik jika mahu mencipta sesuatu khususnya dengan taktikal daripada jurulatih yang dilihat merupakan satu perkembangan yang sihat.
“Dengan berbekalkan taktikal dan corak permainan yang diterapkan jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, saya yakin Sabah FC dapat mengekalkan rekod cemerlang pasukan pada pertemuan esok menentang JDT.
“Setakat ini momentum pasukan berada dalam keadaan baik. Dari perlawanan lepas, momentum Sabah FC cukup baik Saya maklumkan dengan jurulatih bahawa setiap perlawanan kita anggap sama dan tidak berbelah bahagi,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama yang dilaksanakan bersama Fujifilm itu dijangka bakal menguntungkan kedua-dua pihak menerusi strategi pemasaran yang baik.
“Sudah pasti, kerjasama ini akan dapat menguntungkan kedua-dua pihak menerusi beberapa strategi pemasaran yang baik.
“Bukan sahaja dari aspek penyokong Sabah FC tetapi orang ramai yang meminati bidang fotografi juga ingin mengetahui tentang Fujifilm,” katanya.
Sabah FC kini berada ditangga kedua Liga Super dibelakang pendahulu liga JDT FC dengan memungut 13 mata. – SABAH MEDIA