KOTA KINABALU: Penganjuran Program Sabah Berselawat 2023 dapat meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata majlis ilmu ini juga sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang berniat untuk mentamadunkan masyarakat dengan usaha perpaduan dan bersatu untuk memanfaatkan insaniah, ekonomi serta sosial.
“Justeru, umat Islam seharusnya memanfaatkan penganjuran majlis agama seperti berselawat ini. Saya mahu agar lebih banyak majlis selawat dapat diadakan di negeri ini bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai agama Islam.
“ Program Sabah Berselawat ini juga dapat menyuntik semangat dan memberi kekuatan kepada kita sebagai umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.
“Semoga penganjuran majlis Sabah Berselawat 2023 ini akan menjadi satu acara tahunan yang diadakan oleh SABAHfm khususnya semasa bulan Ramadan bagi mengimarahkan lagi majlis ilmu seperti ini dalam kalangan umat Islam,” katanya ketika merasmikan Program Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM ke-77 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.
Program Sabah Berselawat 2023 ini julung kali dianjurkan oleh RTM Sabah menerusi radio SABAHfm, sempena Sambutan Hari RTM Ke-77.
Dalam pada itu, beliau berharap RTM akan terus membantu menyampaikan maklumat dan agenda kerajaan kepada rakyat, termasuklah insiatif pembangunan iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Inilah pentingnya peranan media terutama RTM dalam menyampaikan agenda pembangunan kerajaan ke seluruh pelusuk negeri ini, agar rakyat tahu apa yang kerajaan sedang dan akan laksanakan.
“Saya berharap RTM sama ada menerusi siaran radio atau televisyen terus memberi maklumat yang terkandung dalam Halatuju SMJ, apa yang telah dan sedang dilaksanakan. Kita mahu semua rakyat tahu apa maklumat yang terkandung dalam Halatuju SMJ ini.
“Agenda Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang tepat untuk membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah menerima banyak pelaburan asing dan juga domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat dan negeri ini.
“Pada minggu ini saja, saya telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan sebuah Kilang Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota Marudu.
“Selain itu, Sabah juga telah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan di dalam PSC Samarang dengan termeterai perjanjian dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada Jumaat.
“Ini antara usaha kita yang berterusan untuk memastikan lebih banyak pembangunan di bawa ke negeri ini. Saya berasa teruja melihat usaha Kerajaan Negeri untuk membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri ini dan rakyat telah menunjukkan kemajuan. Ini adalah sebahagian daripada bukti yang dapat kita rasa dan banggakan,” katanya.