HomeUtamaMata Finno terangi penglihatan tiga insan

Mata Finno terangi penglihatan tiga insan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Seramai tiga pesakit mata pulih penglihatan selepas menerima sumbangan kornea yang didermakan seorang mualaf yang meninggal dunia akibat masalah perubatan, di sini, baru-baru ini.

Penderma terbabit, Allahyarham Finno Joitol, 54, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini adalah penderma organ yang ketiga di Sabah pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata sepasang mata arwah didermakan kepada pesakit yang memerlukan selepas mendapat persetujuan keluarga.

“Setelah keluarga dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, pihak keluarga berbincang dan bersetuju mendermakan mata (kornea). Prosedur pendermaan disempurnakan di HQE.

“Kornea yang didermakan berjaya ditransplan dan memulihkan penglihatan tiga orang pesakit iaitu kornea kanan kepada seorang penerima dan kornea kiri dibahagikan kepada dua orang penerima,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Rose Nani berkata, keluarga arwah turut berbesar hati supaya kisah pendermaan itu boleh menjadi dorongan kepada orang ramai khususnya masyarakat di Sabah untuk tampil menjadi penderma organ.

Sementara itu, Dr Rose Nani turut memberi pencerahan mengenai isu pendermaan organ dalam kalangan orang Islam berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Sabah dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin memaklumkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil 2/2009 yang bersidang pada 9 Disember 2009 Miladiah / 22 Zulhijjah 1430 Hijriah, di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah bagi membincangkan mengenai ‘Derma Organ Menurut Perspektif Islam’ telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam.

“Selain itu, menurut Bayan Linnas Siri Ke-176: Pembaharuan Pandangan Hukum Berkenaan Pendermaan Organ Dan Tisu yang diwartakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 16 April 2019 telah memperluaskan pendermaan organ-organ seperti buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas serta tisu-tisu seperti mata, tulang, kulit dan injap jantung.

“Pendermaan organ dan tisu itu adalah harus dan amat digalakkan selaras dengan perkembangan semasa dan penemuan perubatan masa kini. Pembaharuan ini juga dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata keputusan mesyuarat berkenaan boleh dirujuk di https://muftiwp.gov.my/perkhidmatan/artikel- soal-jawab/3314-bayan-linnas-siri-ke-176-fatwa-berkenaan-organ-dan-tisu).

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih di atas kemuliaan penderma dan seluruh ahli keluarga kerana memberikan anugerah kehidupan kepada pesakit yang memerlukan. 

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Dr Rose Nani turut menyeru orang ramai menjadikan kemuliaan penderma organ dan keluarga mereka sebagai teladan selain pendaftaran sebagai pengikrar penderma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular