HomeEkonomiKUSKOP lancar skim baharu khusus untuk usahawan Sabah, 6 Mei ini

KUSKOP lancar skim baharu khusus untuk usahawan Sabah, 6 Mei ini

Read Time:1 Minute, 17 Second

Putrajaya : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan satu skim usahawan baharu khusus untuk Sabah dan Sarawak di bawah SME Corp pada 6 Mei ini, di Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, skim usahawan itu adalah hasil sesi libat urus bersama usahawan di kedua-dua negeri berkenaan.

“Ini merupakan pendekatan kita selepas kita mengadakan sesi libat urus dengan usahawan, koperasi dan pemegang taruh di Sabah dan Sarawak. 

“Ada keperluan untuk kita memperkenalkan skim-skim khas untuk usahawan di Sabah dan Sarawak kerana mereka berhadapan dengan cabaran yang unik, berbeza dengan usahawan-usahawan di Semenanjung.

“Misalnya dari segi logistik, hebahan maklumat, infrastruktur, kemudahan dan capaian internet, semuanya memerlukan bantuan khas supaya tidak timbul persepsi atau keluhan bahawa kementerian ini ataupun kerajaan persekutuan tidak memberi perkhidmatan sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa KUSKOP, di sini, semalam.

Ewon berkata, sebelum ini Kuskop telah melancarkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) melalui agensinya TEKUN Nasional khusus untuk para peniaga tamu di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, TEKUN Nasional memperuntukkan RM5 juta di bawah SPUT. Had maksimum pembiayaan untuk SPUT sehingga RM5,000 dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan. 

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan wang zakat UDA Holdings, satu daripada agensi KUSKOP bernilai RM10,000 kepada Pertubuhan Warisan Suci dan duit raya kepada 20 anak yatim.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswaty Kandasamy, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan Datuk Zamri Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Dan Pemantauan Noor Afifah Abdul Razak. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular