HomeIsu tempatan170 golongan kurang berkemampuan terima sumbangan bakul makanan, bubur lambuk

170 golongan kurang berkemampuan terima sumbangan bakul makanan, bubur lambuk

Read Time:1 Minute, 39 Second

Membakut : Seramai 170 orang penerima terdiri dari golongan kurang berkemampuan sekitar daerah ini menerima sumbangan bakul makanan dan bubur lambuk.

Agihan sumbangan itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif sempena Program Memasak dan Sedekah Bubur Lambuk dan Kasih Ramadan.

Program itu dianjurkan Masjid Cahaya Iman Membakut dengan kerjasama Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd.

Arifin berkata, program itu juga bertujuan untuk memberi bantuan dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut Ramadan dan Syawal.

“Program yang julung-julung kali diadakan ini bukan sahaja untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan masyarakat, bahkan juga untuk memberi sumbangan kepada 150 penerima dan 20 pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan melalui sumbangan derma daripada pihak korporat, NGO dan orang perseorangan.

“Oleh itu, saya ucapkan sekalung penghargaan kepada pihak korporat dan para dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Membakut.

“Terima kasih di atas keprihatinan dan sikap mengambil peduli kepada mereka yang kurang berkemampuan dan semua pihak terlibat dalam menjayakan program murni ini,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Cahaya Iman Membakut, Herwan Harun memaklumkan program berkenaan dijayakan oleh sukarelawan Persatuan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Membakut II, Kelab Kriket SMK St. Patrick, Persatuan Alumni SMK Membakut, AJK Muslimat Surau Kg Sungai Damit dan Persatuan Komuniti Pelancongan Binsulok.

Katanya, antara penyumbang adalah Yayasan Sime Darby, Islamic Relief Malaysia, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS),  Syarikat Sazarice Sdn Bhd, Sabah Oil and Gas Corporation, Kumpulan Sawit Kinabalu, Desa Group Of Companies dan banyak lagi.

Sementara, para penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dari Kg Baitam, Kg Bambangan, Kg Bawan, Kg Binsulok Likas, Kg Brunei, Kg Madang, Kg Mandangin, Kg Mawao, Kg Pimping, Kg Pusak, Kg Paung Maragang, Kg Pinopok/ Tamalang, Kg Sinoko, Kg Sungai Damit, Kg Tahak dan Kg Tiong.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah, Ibrahim Terki, Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar serta wakil-wakil penyumbang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular