HomeEkonomiSabah terima lebih RM33b pelaburan

Sabah terima lebih RM33b pelaburan

Read Time:1 Minute, 48 Second

TUARAN: Kerajaan Negeri meluluskan pelaburan berjumlah RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana kira-kira 4,566 pekerjaan sejak penularan wabak Covid-19 sehingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Bagaimanapun, ini tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani pada November 2022.

“Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya ketika mempengerusikan
Mesyuarat Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDIA) di Shangri-La’s Rasa Ria Resort, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.

Katanya, 72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6b) dan sektor perkhidmatan (RM1.5b).

“Pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, SEDIA dan agensi berkaitan lain,” katanya.

Kini SEDIA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, Ketua Menteri mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Pembangunan Koridor Sabah (SDC) untuk diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur yang perlu dipatuhi.

Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Feb 2023 yang akan membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan B40 melalui program seperti Usahawan Tani (INTAN), Usahawan Makanan (INSAN) dan Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Selepas menghadiri mesyuarat, Ketua Menteri berbuka puasa bersama ahli lembaga SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah dan pusat Tahfiz di Tuaran iaitu HOME Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa, dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah di mana beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Setiausaha Negara, Kementerian Ekonomi Dato Nor Azmie Diron, Peguam Negara, Nor Asiah
Mohd Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan Datuk Sofian Alfian Nair, Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan, ketua-ketua jabatan dan ahli lembaga SEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Kaamatan wadah promosi perpaduan sosial, jambatan persefahaman – Dr. Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular