Laporan akhir tragedi ‘Double Six’ didedah minggu depan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976.

Kemalangan yang telah mengorbankan pemimpin-pemimpin utama negeri Sabah ketika itu telah menimbulkan banyak persoalan dan keresahan pelbagai pihak terutama rakyat negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu akan dikeluarkan sepenuhnya selewat-lewatnya minggu depan selain telah dituntut oleh rakyat Sabah sejak 47 tahun lalu.

“Selama ini, Kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan [laporan ini] di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Hari ini, jemaah menteri mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat oleh keluarga waris yang ingin maklumat terperinci.

“Ianya selari atau tuntas dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan. Oleh demikian, kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air 6 Jun 1976 akan diturun taraf (declassify),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, Kabinet turut bersetuju untuk mengambil langkah tersebut walaupun selepas mengambil kira beberapa komplikasi yang mungkin timbul, antaranya dari segi perundangan.

Katanya, rakyat Sabah dan waris mangsa berhak untuk mengetahui perincian laporan nahas itu, yang tidak wajar lagi diklasifikasikan bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu di mana telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu iaitu Tun Fuad Stephens selain empat menteri Sabah dan enam yang lain.

Antaranya ialah Menteri Kewangan negeri Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin serta Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun.

Kapal terbang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *