HomeUtamaAgong zahir dukacita, kutuk serangan rejim Israel

Agong zahir dukacita, kutuk serangan rejim Israel

Read Time:1 Minute, 49 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka Baginda menyifatkan serangan terhadap jemaah dan pencerobohan tempat suci umat Islam itu sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya dalam tempoh aman.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencabuli hak asasi manusia serta kesucian masjid itu.

“Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan segera membebaskan semua tahanan Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zahari berkata, Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia juga menyokong dan berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa.

Selain itu katanya, Yang di-Pertuan Agong juga bertitah agar kerajaan Malaysia memainkan peranan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) untuk bersatu padu membantu menangani masalah yang dihadapi oleh Palestin.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah S.W.T untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat Rejim Israel,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular