HomeIsu tempatanKongsi kegembiraan Syawal dengan mereka yang memerlukan - Annabell

Kongsi kegembiraan Syawal dengan mereka yang memerlukan – Annabell

Read Time:1 Minute, 51 Second

SANDAKAN: Kelab Kebajikan Kemajuan Sabah dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah berkongsi kegembiraan bagi merayakan ketibaan Syawal dengan mereka yang memerlukan.

Pengerusinya, Annabell Perian berkata usaha itu adalah satu usaha bagi mendekati dan menyantuni komuniti khasnya golongan yang kurang berkemampuan untuk memberi keperluan hari raya.

“Program Cahaya Ramadan terdiri daripada Jom Shopping Raya dan Majlis Berbuka Puasa yang kita anjurkan ini antaranya adalah bertujuan untuk berkongsi dan memberi sedikit sinar kepada saudara-saudara seagama kita yang kurang berkemampuan untuk menyambut Syawal yang bakal tiba dalam masa lebih kurang dua minggu lagi.

“Hari ini kita bersama 100 anak-anak yatim dan asnaf dari kawasan Parlimen Libaran, Sandakan yang kita bawa ke Mydin Mall di sini untuk memberi keperluan baju hari raya mereka.

“Kita berharap dengan usaha ini kita mampu memberikan mereka kegembiraan dan senyuman untuk mereka di pagi Syawal nanti,” katanya.

Bagi Majlis Berbuka Puasa pula, seramai 300 peserta terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf yang juga menerima sumbangan Jom Shopping Raya dan komuniti sekitar turut sama memeriahkan majlis.

Hadir sama dalam kedua-dua acara tersebut ialah perasmi, iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda dan Pengerusi Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar.

Menurut Annabell, program seumpama itu dirancang untuk dijadikan sebagai program tahunan persatuan itu memandangkan kerana program itu adalah bertepatan dengan konsep mendekati komunuti dan masyarakat.

“Kita berharap untuk tahun seterusnya, kita mampu meneruskan dan mengadakan lebih banyak program seumpamanya ini, berkongsi dengan mereka di bulan Ramadan dan Syawal.

“Semoga segala usaha murni yang kita lakukan akan terus diberkati oleh Allah dan sentiasa berjalan lancar dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Annabell turut mengalu-alukan orang ramai untuk turut sama beramal dan menjalin kerjasama dengan persatuannya bagi tujuan aktiviti kemasyarakat dan kebajikan kepada komuniti.

“Persatuan amat berbesar hati untuk bekerjasama dan berkolaborasi untuk bersama menjayakan program-program kemasyarakatan dan yang dekat dengan komuniti kita, seperti mana yang kita jalankan ini.

“Kita sedar, betapa pentingnya dan betapa perlunya kita semua bersatu dalam komuniti untuk bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

“Sesungguhnya ini adalah amalan mulia yang insyaAllah pasti bakal menjadi antara saham kita di sana kelak, mudah-mudahan diterima oleh Allah,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular