HomeIsu tempatanTerus amal, tambah amal ibadah dibulan mulia - Jahid

Terus amal, tambah amal ibadah dibulan mulia – Jahid

Read Time:1 Minute, 25 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tamparuli : Umat Islam diseru untuk terus mengamalkan dan menambah amal ibadah sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk mengumpul pahala agar mendapat ganjaran berganda daripada Allah SWT.

“Amalan ibadah merupakan suatu perkara baik yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh semua umat manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ihya Ramadan, Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Fakir Miskin Anjuran Kumpulan Yayasan Sabah (Zon Pantai Barat Selatan) Tahun 2023M/1444H, di Surau Kampung Lapasan Laut Tenghilan di sini kelmarin.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, amalan yang dilaksanakan pada bulan mulia ini merupakan ibadah yang diseru oleh Allah merangkumi semua amalan baik dan menjangkau semua amal soleh.

“Istiqamah dalam setiap amalan kita dan bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi sepanjang Ramadan.  Apa-apa pun kebajikan yang kita mahu lakukan seharusnya dibuat dengan ikhlas kerana Allah, dan juga dengan hati yang khusyuk lagi tawaduk kepadaNya,” katanya.

Dalam pada itu, Jahid merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sabah atas usaha mengadakan program bermanfaat berkenaan, yang pastinya dapat sedikit sebanyak membantu penduduk kampung yang tidak berkemampuan.

“Tahniah juga kepada Jawatankuasa Surau Al-Hafiz Kampung Lapasan diketuai Ustaz Junaidi Mohd Salleh, sesungguhnya telah banyak perubahan demi perubahan yang dibawa beliau dan jawatankuasanya terutamanya dari segi keceriaan dan kebersihan surau ini,” katanya.

Sejurus selesai acara rasmi dan penyampaian sumbangan beras kepada lebih kurang 70 penerima, para tetamu dijemput bersama-sama dalam Majlis Berbuka Puasa dan seterusnya Solat Maghrib berjemaah bersama penduduk kampung.

Terdahulu, turut diadakan ceramah agama oleh penceramah jemputan, Dr. Ustaz Japran Kusin yang merupakan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular