HomeSukanSabah beri bayangan hantar kontinjen besar pada SUKMA XXI 2024 di Sarawak

Sabah beri bayangan hantar kontinjen besar pada SUKMA XXI 2024 di Sarawak

Read Time:2 Minute, 10 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Sabah dijangka akan menghantar kontinjen yang besar pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke XXI yang bakal berlangsung di Sarawak pada tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, penganjuran temasya di negeri itu bakal memberi banyak keselesaan kepada kontinjen Sabah khususnya dalam aspek logistik.

Katanya, Sabah sebelum ini juga pernah menghantar jumlah kontinjen yang besar pada 2016 dimana Sarawak pada ketika itu menjadi hos penganjur SUKMA ke-18.

“Dipihak Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), kita menyambut baik tawaran negeri Sarawak yang akan menjadi tuan rumah SUKMA XXI 2024.

“Seperti biasa, kita meneruskan latihan rutin sebaik sahaja berakhirnya SUKMA XX MSN 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada September tahun lalu.

“Buat masa ini, kita telah melantik seramai 36 orang atlet SUKMA Sabah menerusi fasa lantikan kita yang pertama iaitu Fasa I, manakala lantikan atlet Fasa II akan kita buat sebaik sahaja berakhirnya Sukan Sabah (SAGA) 2023,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA 2024 Kontinjen Sabah di sini semalam.

Ellron berkata, SAGA yang bakal berlangsung pada 16 hingga 22 Disember depan akan menjadi medan penting untuk mengenalpasti, meninjau dan menilai prestasi atlet-atlet negeri ini pada keseluruhannya.

“Mereka yang beraksi cemerlang di SAGA dengan menembusi pencapaian atau prestasi atlet di kejohanan kebangsaan akan kita masukkan dalam senarai awal untuk latihan intensif Fasa II bermula awal tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, latihan atlet-atlet negeri ini akan dipantau sepenuhnya di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan pihak Kementerian akan sentiasa mengikuti rapat perkembangan dan prestasi semua atlet yang terlibat dari semasa ke semasa.

“Semasa SUKMA XX MSN 2022, seramai 467 atlet melibatkan 31 jenis sukan telah mewakili negeri ini, dan sehingga ke hari ini, kita ada kira-kira 200 atlet yang masih layak ke SUKMA Sarawak tahun depan termasuk 56 orang atlet yang telah memenangi pingat di SUKMA 2022,” katanya.

SUKMA XXI Sarawak 2024 akan mempertandingkan 32 jenis sukan termasuk 28 jenis sukan teras iaitu akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis, selain empat sukan tambahan iaitu muay thai, petanque, sukan elektronik (E-Sports) dan tinju.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Datuk Gerald Rentap Jabu menerusi kenyataan medianya sebelum ini menyatakan kesediaan Bumi Kenyalang menjadi tuan rumah SUKMA dalam bulan Julai 2024. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

34 pasukan jayakan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kuala Penyu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular