HomeIsu tempatanTukang jahit mula tidak menang tangan siapkan tempahan baju raya

Tukang jahit mula tidak menang tangan siapkan tempahan baju raya

Read Time:1 Minute, 34 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Berbaki kurang dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, tukang jahit sekitar ibu negeri dilihat tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Tinjauan Sabah Media mendapati ada tukang jahit yang terpaksa menolak tempahan baju raya lebih awal selain turut menghadkan jumlah baju yang mampu dijahit pada tahun ini.

Bagi Juidah Rajik,29, mengakui tempahan baju raya khususnya dikalangan golongan wanita masih meriah meskipun negara berdepan ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, antara baju yang sering ditempah oleh para pelanggan adalah baju kurung moden yang diminati oleh mereka berusia antara remaja hingga 50 tahun.

Nur Kadir dikedai jahit miliknya

“Meskipun ekonomi sekarang kurang baik namun kami masih menerima tempahan macam biasa seperti tahun sebelum ini.

“Cuma jika dilihat tahun lalu lagi banyak tempahan kerana kemungkinan para pelanggan mempunyai sedikit kemampuan sebab dapat mengeluarkan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya ketika ditemui di kedai jahit di sini baru-baru ini.

Juidah berkata, mereka mula menerima tempahan seawal bulan Januari lalu sehingga awal Februari selain hanya menghadkan kepada 100 helai baju sahaja.

“Kami mula terima tempahan bulan Januari sampai awal Februari lalu dan sekarang kami tutup sudah kerana takut tidak siap sebelum sambutan Aidilfitri.

“Dari segi harga pula, kami bermula dengan RM65 sepasang namun ia bergantung kepada fesyen yang dimahukan oleh pelanggan, ada juga mencecah sehingga RM200 sehelei,” katanya.

Sementara itu, bagi Nur Kadir,31, yang mula menjinakkan diri dalam bidang menjahit sejak 2015 turut mengakui tempahan yang diterima pada tahun ini lebih memuaskan berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu agak kurang sedikit kerana masih dalam pandemic COVID-19, tapi tahun ini tempahan ada peningkatan sedikit.

“Pada tahun ini, kami tidak ambil banyak dan hanya menghadkan sebanyak 150 helai sahaja tidak seperti tahun-tahun lalu,” katanya.

Katanya, mereka mula menerima tempahan menjahit seawal bulan Disember tahun lalu dan menutup tempahan pada awal Mac lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS anjur Karnival Usahawan Mahasiswa sempena Hari Kanak-kanak Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular