HomeSukanSabah negeri pertama laksana caruman KWSP untuk atlet

Sabah negeri pertama laksana caruman KWSP untuk atlet

Read Time:1 Minute, 57 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Sabah menjadi negeri pertama yang melaksanakan program caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para Sukma di negeri ini.

Menerusi pelaksanaan program itu, sebanyak RM400,000 dana caruman disediakan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah untuk digunakan sebagai caruman bermula Februari tahun ini.

Majlis penyempurnaan simbolik penyaluran dana caruman itu telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah; Datuk Ellron Angin kepada Pengarah KWSP Wilayah Sabah; Mohd Fadil Sarehan pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Sabah Bersama Jurulatih Majlis Sukan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.

Mohd Fadil berkata, inisiatif yang dilaksanakan KBS Sabah dalam membela kebajikan atlet menerusi caruman tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di laksanakan di negara ini.

“KWSP memuji usaha murni Kerajaan Negeri kerana ianya berkaitan dengan masa depan atlet.  Ini sangat penting untuk memastikan warga atlet yang pernah dan akan mewakili Sabah sekurang-kurang mempunyai simpanan selepas bersara nanti.

“Dan yang baiknya, caruman ini boleh diteruskan oleh para penerima secara peribadi mahupun apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, sehingga kini seramai 72 atlet lantikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah telah disenarai untuk menerima caruman dari kerajaan negeri ini.

“Atlet-atlet ini akan menerima caruman dengan syarat mereka masih mengikuti program latihan MSN Sabah dan menerima laporan baik jurulatih.

“Kita berharap caruman ini dapat menggalakkan lagi lebih ramai anak-anak muda bergiat dalam sukan secara serius dan merebut peluang mewakili Sabah khususnya di SUKMA dan Para SUKMA.

“Sebelum ini mungkin ramai yang beranggapan bergiat dalam sukan tidak mempunyai masa hadapan, tetapi caruman ini akan membuka mata semua bahawa hari ini, sukan sememangnya merupakan satu kerjaya yang lumayan,” katanya.

Katanya, Kementerian kini dalam kajian untuk pelaksanaan caruman Fasa II di mana selepas SUKMA atau Para SUKMA, atlet-atlet Sabah yang terpilih memasuki program Podium MSN akan terus menikmati caruman dari Kerajaan Negeri ini.

“Inilah keprihatinan kita dalam membela nasib dan kebajikan atlet-atlet anak jati Sabah,” katanya.

Melalui caruman ini, setiap atlet lantikan MSN Sabah akan menerima caruman RM50 ke dalam akaun KWSP mereka setiap bulan.

Hadir sama di majlis itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah; Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBS Sabah; Datuk Mansur Asun dan Pengarah MSN Sabah; Mohd Asneh Mohd Noor. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

34 pasukan jayakan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kuala Penyu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular