HomeUtamaKTYS terima sumbangan tiga buah kenderaan pacuan empat roda dari SESB

KTYS terima sumbangan tiga buah kenderaan pacuan empat roda dari SESB

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima tiga buah kenderaan pacuan empat roda daripada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam satu Majlis Penyerahan Sumbangan di Kampus Bandaraya, Sembulan di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, serta wakil-wakil kanan dari KTYS dan SESB.

Kenderaan yang dilengkapi dengan teknologi moden dan ciri keselamatan itu akan digunakan oleh KTYS untuk tujuan pendidikan dan operasi terutamanya untuk Program Teknologi Automotifnya.

Haji Samin berkata, penambahan terkini tiga kenderaan pacuan empat roda itu akan meningkatkan lagi keupayaan KTYS untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk para pelajarnya.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada SESB atas sumbangan yang diberikan Haji Samin berkata, sumbangan kenderaan tersebut akan memberi manfaat besar kepada KTYS dalam mencapai matlamat akademik dan operasinya.

“Ini penting dengan adanya kerjasama antara industri dan ahli akademik dalam memupuk generasi profesional berkemahiran dalam melahirkan modal insan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Mohd Yaakob turut melahirkan rasa gembira dapat menyumbang kepada misi KTYS dalam menyediakan pendidikan teknikal kepada belia Sabah.

“Sumbangan ketiga-tiga kenderaan itu adalah sebahagian daripada komitmen SESB untuk menyokong pendidikan dan memperkasakan belia Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan dedikasi SESB untuk menyokong pembangunan masyarakat setempat dan mengulangi komitmen syarikat terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, majlis disempurnakan dengan acara simbolik penyerahan replika kunci daripada SESB kepada KTYS. SESB diwakili oleh Mohd Yaakob manakala KTYS Haji Samin.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua pihak komited untuk memajukan pendidikan, pembangunan kemahiran dan pembangunan mampan di Sabah melalui perkongsian pintar mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular