HomeUtamaMajikan diberi amaran keras supaya patuh undang-undang di bawah Ordinan Buruh Sabah...

Majikan diberi amaran keras supaya patuh undang-undang di bawah Ordinan Buruh Sabah – Mustapha

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud memberi amaran keras kepada pihak majikan di negeri ini supaya mematuhi undang-undang yang diperuntukkan di bawah Ordinan Buruh Sabah, sekiranya gagal pihak berwajib akan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas majikan berkenaan.

“Saya bagi amaran mana-mana majikan yang berada di Sabah ini, cuba fahami undang-undang pekerjaan di bawah Ordinan Buruh Sabah, baca dan fahamkan, pihak kita akan mengambil tindakan kepada mana-mana majikan yang gagal membayar gaji ataupun lewat membayar gaji mengikut akta buruh Sabah.

“Jadi saya bagi amaran keras bagi majikan-majikan untuk memastikan bayar gaji mengikut perjanjian antara majikan dan pekerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Penduduk di Masjid Al Munir Kampung Darau dekat sini pada Ahad.

Mustapha berkata demikian susulan isu kelewatan membayar gaji pekerja punca pergaduhan antara majikan dan pekerja di tapak projek pembinaan milik sebuah syarikat swasta yang berlaku di Kota Kinabalu pada Sabtu baru-baru ini.

Pergaduhan itu mengakibatkan seorang pengarah projek pembinaan tersebut cedera dipukul oleh sekumpulan pekerja binaan kerana tidak berpuas hati berkenaan isu berkenaan.

Dalam pada itu,Mustapha berkata, beliau telah menerima laporan dari pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah sendiri mengenai isu sebenar kejadian tersebut berlaku.

“Saya baru terima laporan dari pengarah Jabatan Tenaga Kerja, memang ini adalah kes yang berlaku kelmarin (15 April) dan mengikut sumber dari pihak majikan dan pekerja yang dimeditasi oleh pengarah JTK sendiri iaitu Wan Zulkifli Wan Setapa isunya ialah kelewatan bayar gaji untuk bulan Mac.

“Sepatutnya mengikut perjanjian gaji dibayar minggu pertama setiap bulan jadi berlaku kelewatan gaji bulan Mac sehingga sekarang ini.

“Biasanya pekerja tidak berpuas hati dan itulah berlakunya pergaduhan menunjukkan ketidakpuasan hati pekerja sehingga memukul majikan mereka yang berbangsa Korea,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, hasil daripada perbincangan dari pihak majikan, pekerja dan JTK, pihak majiikan yang terlibat bersetuju untuk membayar gaji pekerjanya hari ini 17 April dan 18 April ini.

“Bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku pegawai-pegawai JTK akan berada di tapak binaan dan akan mendengar aduan jika masih lagi berlaku kelewatan bayaran gaji ini.

“Kementerian bersedia melalui JTK untuk menerima sebarang aduan daripada para pekerja, mungkin ada lagi isu lain sama ada pekerja lain tidak dibayar gaji atau mungkin ada kes-kes tertentu tidak dibayar gaji pada bulan Februari atau Januari?,” katanya.

Tambahnya, menurut maklumat isu kelewatan membayar gaji di tapak projek pembinaan berkenaan melibatkan seramai kira-kira 600 pekerja yang bekerja di bawah sub kontraktor melibatkan jumlah gaji sebanyak RM3.8 juta.

“Justeru, pihak pegawai-pegawai JTK hadir di lokasi kejadian untuk mengetahui lebih lanjut sebab kelewatan bayar gaji, itu yang kita sedang kenal pasti dan kita pun tidak faham sebab kelewatan bayaran gaji itu.

“Pihak polis telah menerima laporan mengenai kes tersebut dan sedang menjalankan siasatan selanjutnya,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular