HomeUtamaTawau antara daerah rekod kes kemalangan tertinggi di Sabah

Tawau antara daerah rekod kes kemalangan tertinggi di Sabah

Read Time:1 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tawau : Sebanyak lebih 400 kes kemalangan direkodkan di daerah ini sehingga penghujung Mac lalu dan ia menjadi antara yang tertinggi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah yang tinggi itu juga dilihat agak membimbangkan.

“Jika kita melihat kepada statistik di dua tahun kebelakangan ini, Tawau telah merekodkan lebih 1,000 kes kemalangan dan pada tahun ini sehingga penghujung Mac sahaja ada lebih 400 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan.

“Justeru itu, kita memilih daerah ini sebagai tempat untuk kita melancarkan kempen kesedaran keselamatan jalan raya pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kempen yang dilaksanakan itu adalah bertujuan bagi menyedarkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu khususnya pada musim perayaan.

“Kita sedia maklum bahawa jumlah trafik pada musim perayaan agak tinggi kerana orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Justeru, kempen ini diharapkan dapat memberi peringatan awal kepada semua rakyat terutamanya yang mahu memandu jauh supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik sebelum pulang ke kampung.

“Selain itu, pastikan kesihatan pengguna jalan raya dalam keadaan baik dan segar ketika mahu memandu jarak jauh,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Shahelmy turut menyampaikan sebanyak 50 topi keledar kepada penunggang motosikal dan risalah kepada pengguna jalan raya.

Sejurus melancarkan kempen itu, Shahelmey turut mengadakan lawatan ke Jalan Ranggu dan Jalan Maria bagi meninjau beberapa pelaksanaan projek jambatan dan jalan raya– SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KBSS perlu gerak program sesuai untuk belia Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular