Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Papar : Masyarakat khususnya di daerah ini berpeluang untuk mendapatkan barang keperluan dengan harga berpatutan bagi menyambut Aidilfitri hingga Ahad ini.
Pemangku Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sebastian Chew berkata, program Jualan Khas Syawal Madani 1444H/2023M itu adalah bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan bekalan keperluan Aidilfitri.
Katanya, program inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Khas Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan dan FAMA itu juga adalah sebagai platform kepada golongan usahawan menjana pendapatan sempena sambutan Aidilfitri.
“Penganjuran jualan khas syawal ini adalah kali ke-14 sejak tahun 2007 di lokasi sama cuma pada tahun ini, kita sekalikan dengan bazar ramadan di sebelah petang.
“Jumlah penyertaan ini kita tetapkan berdasarkan jumlah lot yang disediakan oleh Majlis Daerah Papar yang mana usahawan perlu memohon dahulu, kemudian kita akan pecahkan usahawan mengikut kategori.
“Di sini ada 45 usahawan yang sebahagian besar adalah sayur dan buah iaitu 27 usahawan, empat lot daging, ayam dan ikan manakala bakinya adalah industri asas tani. Program bermula sejak Selasa lalu dan semasa hari raya nanti jualan akan diteruskan oleh usahawan yang tidak menyambut hari raya hingga ke Ahad,” katanya.
Sebastian berkata, semua usahawan terlibat telah diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi barang kawalan yang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023.
“Sepanjang pemerhatian kita, para usahawan di sini mengenakan harga berpatutan, kalau harga barang kawalan memang kita maklumkan tidak boleh jual lebih daripada harga kawalan jadi kita perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh KPDN,” katanya.
Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah, Jeffri Mohd Zain berkata FAMA Papar menyasarkan pendapatan sebanyak RM300,000 sepanjang tempoh program tersebut berlangsung.
“Pada tahun 2007, pendapatan keseluruhan bagi program ini ialah RM200,000, kemudian pada tahun lepas mencecah RM320,000.
“Oleh itu, pada tahun ini kita yakin dapat mencapai sasaran RM300,000 malah mungkin akan lebih lagi,” katanya.
Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Syawal Madani 1444H/2023M disempurnakan oleh Armizan yang diwakili Setiausaha Sulitnya, Rosli Ibrahim di sini, semalam.
Pada majlis itu, Rosli turut menyampaikan duit raya dan Kit Jelajah Ramadan berupa bakul makanan kepada 30 penerima sumbangan FAMA dan Bank Rakyat.
Hadir sama,Pengerusi Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Pantai Manis Datuk Seri Abdul Rahim Ismail dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad @ Frederick Julianus Atik.