HomeUtamaKes demam denggi di Sabah catat penurunan

Kes demam denggi di Sabah catat penurunan

Read Time:1 Minute, 45 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan sebanyak 152 kes demam denggi pada minggu epidemiologi ke-15 yang berakhir pada 15 April lalu berbanding 165 kes pada minggu sebelumnya.

Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 13 kes atau 8.6 peratus.

Katanya, jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 15 April lalu itu adalah sebanyak 3,185 kes.

“Dari jumlah itu sebanyak lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan. Daerah yang mencatatkan kematian adalah Sandakan (dua kes ), Penampang (satu kes), Kudat (satu kes) dan Kunak (satu kes).

“Kes kematian denggi yang kedua di Sandakan dilaporkan pada 6 April lalu adalah akibat komplikasi demam denggi berdarah, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara berusia empat tahun dari Sri Taman, Sandakan.

“Manakala satu kematian denggi di Penampang, melibatkan seorang perempuan dewasa warganegara berusia 40 tahun dari Lawas, Sarawak. Kes meninggal dunia pada 06 Disember 2022 di negeri Sarawak disebabkan menghidap demam denggi dengan komplikasi radang jantung,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, disebabkan kes mempunyai sejarah pergerakan ke Taman Donggongon, Penampang semasa tempoh inkubasi pada tahun 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kes kematian didaftarkan di daerah Penampang pada tahun ini.

Katanya, kedua-dua kes kematian denggi ini berlaku di taman perumahan jenis teres dua tingkat dan tidak ada kaitan epidemiologi antara satu sama lain.

“Pemantuan dari JKNS mendapati pada minggu pertama dan kedua Januari 2023, kes mingguan yang dilaporkan adalah melebihi 250 kes seminggu.

“Namun penyakit kes demam denggi menunjukkan tren penurunan sejak Minggu Epidemiologi ketiga sehingga kini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, JKNS menggesa semua lapisan masyarakat untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit melakukan aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar rumah masing-masing.

Katanya, masyarakat juga perlu mengamalkan penggunaan semburan aerosol pada awal pagi dan lewat petang.

“Jika ada ahli keluarga atau rakan yang mengalami simptom-simptom demam denggi seperti demam panas, sakit kepala, sakit belakang mata, sakit sendi/otot, segera dapatkan rawatan. Rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Crisnanalina terima bantuan kewangan dari ADUN Sugut untuk lanjut pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular