HomeUtamaPejabat SKM Wilayah PBU akan berpindah berdekatan Tuaran tahun ini

Pejabat SKM Wilayah PBU akan berpindah berdekatan Tuaran tahun ini

Read Time:2 Minute, 8 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tuaran : Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Pantai Barat Utara  (PBU) akan berpindah dari Menara MAA Kota Kinabalu ke lokasi baru berdekatan daerah Tuaran pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi memudahkan koperasi-koperasi di bawah kawasan Parlimen Tuaran, Kota Belud dan Sepanggar untuk berurusan.

Beliau berkata, pejabat baharu SKM itu dijangka beroperasi tahun ini pada suku keempat setelah semua proses perpindahan selesai.

“Pejabat SKM Wilayah Pantai Barat Utara ini menyelia koperasi-koperasi yang terletak di Parlimen Tuaran, Kota Belud dan Sepanggar. Secara keseluruhannya sebanyak 257 koperasi yang berdaftar di ketiga-tiga Parlimen itu, setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Madani dan Penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM, di Dewan Masjid Baitul Makmur Kampung Kota Tuaran, di sini, semalam.

Ewon berkata, setakat ini sebanyak 11 pejabat wilayah SKM di Sabah termasuk Labuan iaitu Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Beaufort, Ranau, Kota Marudu dan Kudat.

Beliau berkata, sehingga Disember 2022, Kerajaan melalui SKM berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan penubuhan sebanyak 15,315 koperasi seluruh negara dengan jumlah keanggotaan seramai 7.05 juta orang.

“Dari segi modal syer dan yuran keanggotaan, sejumlah RM16.99 bilion direkodkan dengan aset terkumpul sebanyak RM159.90 bilion. Dari segi pencapaian, gerakan koperasi berjaya menjana pendapatan sebanyak RM38.5 bilion,” katanya.

Ewon berkata, pencapaian itu turut memberi kesan positif, terhadap gerakan koperasi Negeri Sabah, yang mana jumlah koperasi berdaftar sebanyak 1,706 buah, dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang.

“Manakala syer dan yuran terkumpul pula sebanyak RM220 juta, aset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan CSR SKM Kepada Fakir Miskin Dan Orang Cacat Penglihatan.

 Beliau turut menyarankan agar Ahli Jawatankuasa Masjid Baitul Makmur Kampung Kota menubuhkan Koperasi Kariah Masjid untuk memberi manfaat kepada semua penduduk setempat.

“Peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat beribadat dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi boleh diperluas sebagai tempat penyatuan dan pembangunan ekonomi ummah.

“Saya difahamkan SKM telah mendapatkan kerjasama strategik bersama pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Institut Koperasi Malaysia dan Angkasa Sabah untuk bekerjsama dalam menubuh dan memperkasakan Koperasi Kariah Masjid di Sabah.

“Ini kerana melalui koperasi banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh anggota-anggota koperasi antaranya bayaran dividen setiap tahun, penyediaan kemudahan latihan dan bantuan dana kepada anggota,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Umar Sarim Haji Saidin dan Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah pertandingan Miss World Malaysia 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular