Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih belum menerima sebarang kes disebabkan cuaca panas yang berlaku di Sabah termasuk dua daerah yang dikategorikan berada pada tahap berjaga-jaga sebelum ini.
Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ia termasuklah belum menerima kes yang dibawa atau dimasukkan ke hospital berikutan fenomena tersebut.
“Setakat ini pihak kita belum menerima sebarang kes yang disebabkan cuaca panas termasuk yang dibawa atau dimasukkan ke hospital.
“Selain itu pihak kita juga masih mendapatkan maklumat berhubung perkara tersebut dari hospital terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Antara kawasan di Sabah yang dikategorikan berada pada tahap satu (berjaga-jaga) berikutan cuaca panas sebelum ini adalah di daerah Beaufort dan Nabawan.
“Buat masa ini pihak JKNS masih mendapatkan maklumat berhubung perkara itu jika terdapat laporan atau aduan berkaitan cuaca panas melampau di kawasan terlibat,” katanya.
Tahap berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian boleh mencecah antara 35 hingga 37 darjah celcius dan berlarutan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, Dr Rose Nani turut menggalakkan orang ramai agar mengambil air secukupnya khususnya bagi mereka yang bekerja di kawasan terdedah dalam cuaca panas.
Katanya yang turut menasihatkan individu yang mahu melakukan aktiviti fizikal luar perlu bijak memilih masa sesuai.
“Ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya kesan hidrasi yang memudaratkan kesihatan disamping digalakkan untuk mengambil air minum secukupnya.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk kekal sihat,” katanya. – SABAH MEDIA